27 Disember 2021, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tahun 2021 menutup tirainya dengan banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini. Antara negeri yang terjejas teruk ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. Pelbagai bantuan dari pelbagai sudut segera digerakkan oleh badan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban mereka yang terkesan bencana tersebut. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut tidak terkecuali untuk sama-sama mempergiat misi bantuan banjir terutama di kawasan Kuala Langat, Selangor.

Pada 22 Disember 2021 yang lalu, MOTAC dengan kerjasama Majlis Pelancongan Negara telah menggerakkan inisiatif untuk membantu mereka yang terjejas di Kuala Lumpur dan Selangor. Selain dua agensi tersebut, dua persatuan hotel, iaitu Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Budget Hotel Malaysia (MyBHA) juga turut bersama-sama berganding bahu memberikan kerjasama menjayakan inisiatif ini.

Misi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Encik Norazman Othman telah dimulakan dengan penyampaian bantuan kepada Pegawai Daerah Kuala Langat, Encik Mohd Jusni Hashi, untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat bencana yang menimpa sekitar daerah tersebut. Inisiatif seterusnya adalah dengan menyerahkan bantuan kepada mereka yang terjejas yang telah ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis, Kuala Langat. Bantuan ini melibatkan 92 buah keluarga yang terjejas.

Selain itu, pasukan MOTAC telah meninjau sekitar Pantai Morib dan Pantai Batu Laut serta Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang. Kesemua kawasan ini merupakan produk pelancangon yang terjejas teruk akibat banjir yang menimpa. Tinjauan ini dilakukan bertujuan untuk meninjau jumlah kemusnahan seterusnya memudahkan proses penilaian peruntukan yang akan disalurkan untuk menampung kos baikpulih kawasan tersebut.

Menurut MOTAC, “Sebanyak 16 orang sukarelawan Voluntourism dalam kalangan warga kerja MOTAC juga tidak terkecuali bergotong-royong menggembleng tenaga bagi melakukan kerja pembersihan dua buah rumah dan satu balai raya di Kebun Baru, Telok Panglima Garang.”

“Selain aktiviti gotong-royong dan tinjauan, MOTAC turut menyumbangkan barang keperluan harian seperti selimut, tuala wanita, telekung, ubat dan berus gigi serta pelitup muka buat kegunaan mereka yang terjejas banjir,” jelas MOTAC.

MOTAC berharap agar bantuan yang disalurkan sedikit banyak dapat mengurangkan bebanan mangsa banjir.

Tambah kementerian tersebut, “MOTAC komited untuk terus mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dengan membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir terutama melalui komitmen yang diberikan oleh para sukarelawan dan penggiat industri.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.