7 Januari 2023, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – Makam Raja Hassan bin Raja Muda Raja Nala ibni Almarhum Sultan Salehhuddin atau lebih dikenali sebagai Raja Busu di Kampung Chuah, Lukut, Port Dickson yang telah selesai dinaik taraf bakal menjadi antara destinasi tumpuan pengkaji sejarah di seluruh negara.

EXCO Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, YB Tuan Borhan Aman Shah mengunjungi makam Raja Busu.

Menurut EXCO Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah, kerja-kerja menaik taraf Makam Raja Busu di Kampung Chuah, Kuala Lukut bertujuan untuk memulihara tapak tersebut sebagai Makam Bersejarah kerana kepentingan peranan Raja Busu dalam pentadbiran kerajaan Selangor pada awal abad ke-19.

Tambah beliau lagi, kerja-kerja menaik taraf juga adalah bagi membolehkan makam tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan kondusif untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.

“Perbadanan Adat dan Warisan Selangor (PADAT) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan para pengunjung untuk melawat makam tersebut bagi tujuan kajian serta penyelidikan. Walau bagaimanapun, permohonan harus dibuat kepada pihak berkuasa terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur berlaku,” kata YB Tuan Borhan Aman Shah.

EXCO Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, YB Tuan Borhan Aman Shah ketika berucap dalam majlis penyerahan projek tersebut.

Kerja-kerja menaik taraf Makam Raja Busu turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf makam isteri baginda dan lima makam lain di sekitarnya, membina sebuah pusat wakaf terbuka, membina pagar kawasan dan laluan pejalan kaki, membersihkan kawasan, membina jalan crusher run, membaik pulih tangga yang sedia ada, memasang papan tanda dan lain-lain kerja yang berkaitan. Kerja-kerja menaik taraf ini bermula pada 1 Ogos 2022 dan telah siap sepenuhnya pada 15 November 2022.

Majlis Penyerahan Projek Menaik taraf Makam Raja Busu, Lukut, Port Dickson antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan PADAT dan seterusnya kepada pihak JAIS untuk tujuan penyelenggaraan telah berlangsung semalam dengan disaksikan oleh YB Tuan Borhan Aman Shah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.