Oleh Rodzi Man
31 Disember 2021, 13:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya − Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi kenyataan pada hari ini mengumumkan pelanjutan pengecualian pembayaran fi lesen bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

MOTAC merupakan agensi kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturan yang berperanan melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan pemandu pelancong di bawah Seksyen 21.

Menurut MOTAC, susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara serta impak berterusan yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan, kementerian ini bersetuju melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula dari 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022.

Tambah MOTAC, “Kementerian ini juga akan melaksanakan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

“Pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan juga akan diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang telah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan oleh PPN,” jelas MOTAC lagi.

Dengan pelaksanaan pelanjutan inisiatif ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati.

Pengecualian fi pembaharuan lesen sehingga 30 Jun 2022 bakal memberikan manfaat kepada 2219 buah syarikat pengusaha pelancongan dengan jumlah keseluruhan RM1 646 100.00

“Pihak MOTAC turut menyeru semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada,” tambah MOTAC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.