Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSungai Buloh – Meskipun perwatakannya agak “gila-gila” serta dikenali sebagai penyanyi jenaka dan menggunakan nama pentas yang unik, iaitu Yasser Atakk, tetapi tidak bermakna anak kelahiran Melaka ini menolak untuk menyanyikan lagu biasa yang lebih bermanfaat.
Yasser Attak atau nama sebenarnya, Yasser Fikri Abu memang berbakat besar dan mampu menyampaikan lagu irama tradisional Melayu dengan begitu baik. Selain memiliki kebolehan tersebut, Yasser juga sebenarnya mahu menyahut cabaran daripada penyanyi dan penulis lirik terkenal, Siso Kopratasa, ataupun mendendangkan lagu irama sebagaimana ciptaan S. Atan dan Allahyarham Pak Ngah.
Senandung Anak Melaka lagu yang berbeza bagi Yasser. Dengan lirik oleh Siso, melodinya merupakan ciptaan komposer baharu, Fauzi Mohammad. Menurut Siso, beliau memilih tema pelancongan untuk menghiasi melodi, di samping mempromosikan Melaka sebagai kota pelancongan di Malaysia.
Berpengalaman menyanyi selama kira-kira 14 tahun dan kerap terlibat dalam nyanyian lagu Dondang Sayang, serta persembahan tradisional Melayu dengan badan budaya bukan sahaja di Malaysia, malah Korea Selatan, Indonesia, dan Thailand, pemilihan Yasser sebagai penyanyi Senandung Anak Melaka memang tepat.
Yasser bukan sahaja menyertai Festival Melayu Yala Changpuak Park, Yala, Thailand pada tahun 2020, beliau juga menyertai Festival Gendang Melayu Lubuklinggau, Indonesia (2016), persembahan Kebudayaan Antarabangsa, dan Festival Angseong Namsada Badiologi, Korea Selatan (2016), Bintang Klasik Kaseh (2016), Bintang P. Ramlee (2010), dan Bintang Asli Kebangsaan (2008), malah merupakan juara pertandingan Dondang Sayang pada tahun 2017, 2019 dan 2020.
Lebih istimewa, Yasser juga mampu menulis lirik. Kecenderungannya memparodikan lagu-lagu tertentu menjadikannya terkenal dalam kalangan peminat seni yang sering melayari YouTube.
Slogan lagu Senandung Anak Melaka ini ialah Melaka sebagai “Kota Pelancongan Negeri Selat”. Lagu ini juga merupakan percubaan Siso mengimbau kembali kegemilangan Melaka yang dahulu disebut “Vanice Timur” yang amat dikagumi para pedagang Barat.
Senandung Anak Melaka merupakan kolaborasi sulung Fauzi dengan Siso. Jelas Fauzi, beliau menjadikan Pak Ngah dan S. Atan sebagai idola, serta inspirasi dalam mencipta karya yang berteraskan irama Melayu tradisional.
Tambah Fauzi, beliau memperoleh idea untuk melodi Senandung Anak Melaka selepas selesai merakamkan lagu tema untuk sebuah pementasan teater di Melaka. Lirik Senandung Anak Melaka banyak mengupas keindahan dan kelebihan yang ada di Melaka untuk dinikmati para pelancong seperti tempat riadah menarik, inap desa yang indah, dan makanan tradisi. Lagu ini juga cuba meletakkan Melaka sebagai “Kota Pelancongan di Negeri Selat” yang mesti dikunjungi.
Tegas Siso, ‘Kota Pelancongan Negeri Selat’ bukan angan-angan kosong, tetapi kenyataan yang mesti diakui semua anak Melaka, dan semua rakyat Malaysia.
Sebagai tanda pengenalan Senandung Anak Melaka kepada masyarakat umum, dan rakyat Melaka khususnya, pihak produksi turut menghasilkan sebuah klip videonya yang menjalani penggambaran di sekitar bandar raya Melaka. Klip tersebut telah dilancarkan pada 29 Oktober 2021 lalu di saluran Youtube Luncai Emas Sdn. Bhd., dan audio rasminya boleh didengari di semua saluran digital.
Sudah tentulah Siso berharap lagu nyanyian Yasser dan melodi oleh Fauzi yang juga anak jati Melaka ini menjadi “lagu wajib” untuk menarik pelancong ke Melaka. Pengedarannya dilakukan oleh Luncai Emas secara jualan digital di platform penstriman, YouTube dan iTunes.