24 Januari 2022, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Sabah yang masyhur dengan gelaran “Negeri di Bawah Bayu” sejak sekian lama, turut dikenali kerana memiliki pelbagai bahasa, dialek, dan adat resam tradisional. Mengikut logik dan kesesuaian, tentulah anak kelahirannya sendiri yang wajar memainkan peranan mempertahan dan memartabatkan kebudayaan negeri Sabah ini.

Justeru, Saiful Jaicob atau nama sebenarnya, Md. Noor Saifullah patut diberikan pujian. Beliau yang juga penyanyi dan komposer mengambil peluang mengetengahkan kebudayaan Sabah dengan melancarkan lagu tunggal terbaharunya dalam bahasa Dusun, berjudul Nokuro Baino. Lagu ciptaan Saiful ini sepenuhnya dirakamkan di Ben Studio, Sabah.

“Sepanjang proses rakaman Nokuro Baino, saya menghadapi pelbagai dugaan. Antaranya ialah penggubahan lirik kerana terdapat sebahagian perkataan yang kurang sesuai,” ujar Saiful.

Tambah Saiful, beliau juga kurang mengetahui perkataan-perkataan Dusun yang lebih mendalam dan puitis. Namun begitu, Nokuro Baino pada akhirnya berjaya disiapkan selepas merujuk Sekar Madusa, seorang komposer Dusun yang lebih arif di Sabah.

Saiful yang aktif kembali sejak pandemik COVID-19 melanda negara, memberitahu bahawa Nokuro Baino yang bermaksud Mengapa Sekarang diilhamkan daripada kisah benar hidupnya sendiri.

“Lagu ini telah dirakamkan sepenuhnya pada tahun 2019, tetapi belum dikeluarkan secara rasmi. Lagu ini dicipta semasa pertandingan tahunan, Sugandoi Kaamatan yang kian meriah di Sabah,” katanya lagi.

Sugandoi Kaamatan ialah pertandingan nyanyian yang dianjurkan bersempena dengan Pesta Kaamatan di Sabah. Antara syarat yang dikenakan ialah lagu yang dinyanyikan mesti dalam bahasa Dusun, Kadazan dan Murut. Maka itu, terciptalah Nokuro Baino.

Pada tahun 2014, Saiful telah menyiapkan beberapa buah lagu tunggal. Beliau kemudian menemui langkah permulaan untuk menceburi dunia nyanyian apabila menyertai program Bengkel Hak Cipta, Bikin Lagu dan Video Muzik anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. pada tahun 2017, bersama-sama beberapa orang komposer tempatan Sabah yang lain.

Saiful Jaicob memilih Luncai Emas Sdn. Bhd. kerana yakin syarikat tersebut boleh mengetengah pelbagai jenis lagu atau bahasa di Malaysia, khususnya di Semenanjung.

Program tersebut bertujuan untuk mendedahkan orang awam dan penggiat seni, terutamanya mengenai kesedaran dan kepentingan hak cipta dalam karya-karya mereka, perkongsian tip, cara membuat lagu hit, serta pembikinan video muzik dengan telefon bimbit.

“Ketika itu, saya berpeluang mengetengahkan lagu-lagu ciptaan saya kepada Luncai Emas. Program bengkel tersebut telah membawa saya menjadi komposer secara eksklusif di bawah Luncai Emas,” jelas Saiful lagi.

Sebelum ini, lagu-lagu ciptaan Saiful ditadbir dan diuruskan secara digital oleh Luncai Emas. Jelasnya, dia memilih Luncai Emas kerana yakin syarikat tersebut boleh menonjolkan pelbagai jenis lagu atau bahasa di Malaysia, khususnya di Semenanjung.

Nokuro Baino telah berada di semua saluran digital dan YouTube Luncai Emas untuk didengari. Luncai Emas bertindak sebagai pengedarnya secara jualan digital di pelantar penstriman, YouTube dan iTunes.

Akhir sekali, sudah tentulah Saiful berharap Nokuro Baino dapat diterima oleh pendengar dan masyarakat, sambil mengembangkan lagu dalam bahasa Dusun ke seluruh Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.