Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Kilang Capal Dr. Saad yang baru sahaja siap diperbesar saiz bangunannya di Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pemilik syarikat Sentuhan Budi Trading, Encik Saad Saep. Syarikat tersebut telah beroperasi di lokasi yang sama sejak penubuhannya pada tahun 2001. Dengan moto “Memartabatkan Warisan Capal”, syarikat ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.
Dalam pada itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dengan mengingatkan semua masyarakat agar mementingkan integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus kerana perkara tersebut akan mendidik masyarakat mengamalkan sikap yang lebih positif.
Jika sesebuah organisasi itu ingin mantap dan berjaya, maka pembudayaan tadbir urus yang baik dalam kalangan warganya merupakan suatu kemestian dan perlu sentiasa disuburkan.
Titah baginda lagi, “Tadbir urus yang baik juga secara langsung mahupun tidak langsung akan dapat menggalakkan budaya dan nilai yang lebih baik dalam kalangan rakyat untuk jangka masa panjang.”
Yang turut hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.