8 Februari 2022, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Tidak dinafikan pandemik COVID-19 membawa kesan buruk kepada banyak pihak, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Masyarakat perlu meneruskan kehidupan dengan menghadapi pelbagai kesukaran.

Sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan, kita wajar saling membantu tanpa mengira apa-apa cara pun, serta bangsa dan agama. Dari segi kejiwaan, antara bantuan untuk perasaan dan semangat yang boleh diberikan adalah menerusi karya seni seperti lagu.

Dalam konteks ini, Layarkan dendangan kumpulan Prasangka boleh dianggap sebagai antara lagu yang memujuk hati dan mendorong semangat agar kita semua tetap bertahan dalam kesukaran yang dihadapi.

Pada Julai 2020, Prasangka merakamkan Jadey selepas kebenaran rentas negeri yang pertama diberikan oleh kerajaan Malaysia. Lagu tersebut dirakamkan di studio Dapo Rekod, Nilai, Negeri Sembilan, kepunyaan pemain gitarnya, Areef Iskandar.

Jadey membawa kisah ayam tua bernama Jadey yang masih memperjuangkan nasibnya laksana ayam muda yang jauh lebih gagah, dan hebat daripadanya. Jadey juga masih mahu berkuasa di wilayahnya.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, sebenarnya Jadey sudah tua dan tidak bertenaga seperti dahulu lagi. Justeru, Jadey sewajarnya meniti usia senja dengan berehat dan menenangkan diri.

Layarkan telah dirakamkan pada awal April 2021, ditunjangi penyanyi dan komposer Prasangka sendiri, iaitu Ajis Hisham. Sebagaimana Jadey, Layarkan juga dirakamkan di studio Dapo Rekod, Nilai, Negeri Sembilan.

Menariknya, Layarkan turut menampilkan ilustrasi sangkar, sebagai lambang diri kita yang terkurung dengan sendirinya. Kedua-dua ilustrasi dihasilkan oleh Sue Anna Joe, seorang jurugambar, pelukis dan artis digital.

Layarkan mula berada di pelantar YouTube Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) pada 10 Disember 2021 lalu, dan juga di semua saluran digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox Music. Edaran secara jualan digital dilakukan oleh Luncai Emas.

Prasangka yang juga bakal muncul dengan EP pertama mereka mengandungi enam buah lagu pada pertengahan tahun ini, berharap pendengar dapat menerima, serta menggemari Layarkan, selepas Jadey dimuat naik di YouTube Luncai Emas mulai Oktober 2020.

“Prasangka memilih Luncai Emas untuk pengedaran digital kerana Luncai Emas bersesuaian dengan konsep dan cita rasa kami. Luncai Emas juga merupakan syarikat penerbitan tempatan. Jadi, sudah tentulah kami menyokongnya,” jelas Ajis yang juga pemain gitar Prasangka.

Prasangka dari kiri, Ajis Hisham (gitar), Firdaus Ahmadi (kru), dan Areef Iskandar (kanan gitar).

Prasangka merupakan sebuah kumpulan yang lagu-lagunya berkonsepkan rock n roll, bluegrass, dan kerakyatan dengan cara mereka yang tersendiri. Menurut Ajis, antara muzik yang mempengaruhi Prasangka, termasuklah daripada kumpulan Kembara (pimpinan Datuk M. Nasir, pemilik Luncai Emas sendiri), Search, Al Di Meola, Roy Clark dan Sirkus Barock.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.