14 Februari 2022, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Kumpulan rock dan ska tanah air, Spider dikenali dan diminati ramai kerana karya dan lagu seperti Aladdin, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Nazraku dan Kacap Terlabik. Nama Spider semakin menanjak apabila Relaku Pujuk, ciptaan penyanyi dan pemain gitarnya, Tam (melodi) serta Keon (lirik) menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu 19 (2004) anjuran TV3.

Setelah hampir tiga dekad berada dalam industri seni suara tanah air, Spider yang memiliki enam buah album studio, iaitu Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Nazraku (2004), Bintang 12 (2007), Kitasatu (2010) dan Ankabut (2016) berasa sudah sampai masa untuk beraksi secara langsung dalam sebuah konsert sendiri.

Menurut Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, tampil dalam konsert sendiri memang idaman semua penyanyi, baik solo mahupun kumpulan. Jadi, katanya, tentulah tidak salah jika Spider turut memasang impian yang serupa.

“Memang besar harapan Spider agar dapat membuat persembahan dalam sebuah konsert sendiri, lebih-lebih lagi bersempena dengan hampir 30 tahun berada dalam industri hiburan negara,” kata Tam sewaktu ditemui di Kebun Che Mah, pada 10 Februari 2022 yang lalu.

Tam Spider mendendangkan Laukku Cukup Masin, Relaku Pujuk dan Kasih Latifah di Kebun Che Mah, Bukit Tabur, Kampung Kemensah pada 10 Februari 2022 yang lalu.

Walaupun kehilangan pemain bass, Tony Iskandar yang meninggal dunia pada 29 Jun 2021, Spider masih bergiat dengan ahli kumpulan yang ada, iaitu Nafie (gitar utama), Aie (dram), dan pengganti Allahyarham Tony, iaitu Is.

‘Sebenarnya, Spider telah mendapat tawaran daripada sebuah syarikat yang berminat untuk menganjurkan konsert. Walau bagaimanapun, kami terpaksa menolak kerana pemilik syarikat tersebut tidak menghormati serta memahami makna dan konsep kumpulan rock,’ jelas Tam apabila ditanya mengenai soal itu tanpa mahu menyebutkan nama syarikat berkenaan.

Jika impian terlaksana, Tam memberitahu bahawa Spider akan membawakan kesemua lagu sendiri, tanpa lagu daripada penyanyi lain. Beliau menegaskan sedemikian sebagai menjawab persoalan yang mengatakan mana-mana penyanyi yang mahu muncul dalam konsert sendiri perlu memiliki sekurang-kurangnya 20 buah lagu terkenal dan diminati ramai.

Mengenai kegiatan terkini, Tam memberitahu beliau sedang sibuk berkolaborasi dengan penyanyi terkenal, Siti Nordiana untuk sebuah lagu tunggal terbaharu.

Tam hadir di Kebun Che Mah sebagai memenuhi undangan pemilik tempat beriadah dan pelancongan itu untuk menghiburkan rombongan dari ibu pejabat Agro Bank di Kuala Lumpur dan wakil media yang datang berkunjung. Ternyata Tam masih mantap dengan suaranya dan petikan gitar akustik mendendangkan lagu Laukku Cukup Masin, Relaku Pujuk dan Kasih Latifah.

Kebun Che Mah mempunyai reputasi tinggi kerana merupakan tempat riadah dan pelancongan yang tersenarai dalam 10 Pelancongan Eko Teratas Malaysia 2022. Terletak di Bukit Tabur, Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Kebun Che Mah dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.