Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur pada tahun ini. Penganjuran festival yang memasuki tahun ketiga ini berlangsung selama sepuluh hari yang bermula dari 17 Februari 2022 hingga 26 Februari 2022, bertempat di East Coast Mall, Kuantan, Pahang. Festival yang berlangsung pada kali ini dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam melibatkan sebanyak 60 lot jualan usahawan kraf dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM1.5 juta.
Festival Kraf Tekstil Pantai Timur mengetengahkan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung seperti pameran produk baharu kraf tekstil dan demonstrasi kraf tekstil melibatkan tenun diraja Pahang, songket dan batik. Bukan itu sahaja, festival kali ini juga dimeriahkan dengan penganjuran aktiviti peragaan fesyen kanak-kanak, pertandingan mengarang tanjak, pertandingan mewarna batik dan pertandingan permainan congkak.
Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara J.P. pada 19 Februari 2022 yang turut diserikan dengan peragaan fesyen yang menampilkan tekstil kraf tenun Pahang diraja mewakili negeri Pahang, songket bagi negeri Terengganu dan batik mewakili negeri Kelantan. Kesemua koleksi teksil yang diperagakan merupakan hasil daripada usahawan kraf dan pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam.
Penganjuran festival selama sepuluh hari ini diharap dapat meningkatkan kesedaran buat seluruh Keluarga Malaysia terhadap penggunaan produk kraf Malaysia terutamanya kraf tekstil yang berkualiti dan terkini seperti songket dan batik. Usaha penganjuran ini juga adalah selari dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember 2021 yang menggalakkan pemakaian produk kraf tekstil terutamanya batik oleh penjawat sektor awam, swasta dan keluarga Malaysia amnya.