2 Mac 2022, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rossem bukanlah nama asing dalam dunia kartun. Pelukis kartun profesional dengan nama Rosidi Semail ini dilahirkan pada tahun 1948 di Kelantan. Beliau mula berkecimpung dalam bidang lukisan kartun sejak akhir tahun 1960-an lagi. Pada ketika itu, karya beliau tersiar dalam Majalah Filem (Singapura).

Rossem atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Rossem mengembangkan bakatnya dengan penerbitan komik pertama melalui Toko Buku Asia (1977) dengan judul “Kopral Mat Loyer”. Pak Rossem pernah bersama-sama keluarga majalah Gila-gila untuk menyumbang karyanya pada awal penerbitan majalah tersebut.

Karya Pak Rossem juga banyak tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada tahun 1978 hingga 1993 dengan kartun strip watak polis “Konstabel Jabit”. Dalam Utusan Melayu (Jawi) juga diterbitkan kartun beliau dengan judul “Pak Din Pencen”. Watak “Si Akob” pula dipopularkan oleh Pak Rossem melalui akhbar Utusan Pelajar. Menurut Dr. Hamedi Mohd. Adnan (2014), akhbar Utusan Pelajar diterbitkan pada tahun 1970 hingga 1992.

Sekiranya ditinjau hasil karya Pak Rossem, kartunnya banyak memaparkan isu yang berlegar dalam masyarakat. Beliau berjaya menggarapnya melalui kartun. Kepekaan beliau terhadap isu semasa menjadikan kartun yang dihasilkan oleh Pak Rossem sentiasa malar segar.

Pak Rossem mendedahkan bahawa pelukis sama seperti penulis. Menurut Pak Rossem, seseorang kartunis itu perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan. Tidak mungkin seseorang itu dapat menghasilkan karya sekiranya tidak menguasai isu kemasyarakatan, politik, ekonomi, budaya lokal dan luar negara serta perkembangan semasa.

Kartunis yang peka dengan keadaan sekeliling selalunya mempunyai pengamatan yang sangat tajam, terutamanya editorial dan sosial kartunis. Mereka akan menterjemahkan realiti semasa melalui lakaran kartun yang dihasilkan. Kelazimannya kartun yang dihasilkan oleh seseorang kartunis ini dimasukkan unsur sinis dan satira. Karya yang berkualiti akan membuatkan masyarakat menerimanya dengan tersenyum simpul walaupun sindiran itu terkena pada diri sendiri.

Antara hasil karya Pak Rossem yang mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Oleh sebab itu, kartun diterima oleh masyarakat sejak kewujudannya pada tahun 1930-an lagi. Pada era ini merupakan tahun perintis hinggalah tahun 1957. Profesor Dr. Muliyadi Mahamood dalam bukunya, Kartun dan Kartunis di Malaysia menyatakan bahawa kartun berperanan mengetengahkan isu-isu sosiopolitik semasa sejak tahun 1930-an lagi. Walaupun sindiran, jenaka dan satira serta gaya persembahan agak keras, masyarakat tetap menerimanya dalam kehidupan sehari-harian.

Pak Rossem terpilih sebagai juri dalam Festival Kartun Antarabangsa Edisi Keempa di Afrika.

Keterlibatan Pak Rossem pada tahun 1970-an itu merupakan era baharu dunia kartun. Pada era ini (1957 hingga 1970-an), para kartunis dalam menghasilkan karya banyak dipengaruhi oleh sifat, sasaran pembaca, pemilikan dan dasar-dasar akhbar yang ditentukan oleh pihak kerajaan.

Maka itu, dengan ketajaman sudut pandang seorang kartunis, Pak Rossem yang pernah melibatkan diri dalam pasukan Polis Diraja Malaysia telah mengangkat semua genre kartun dalam hasilan karyanya kecuali animasi. Genre-genre yang menjadi sajian Pak Rossem ialah kartun hiburan (kartun lereng), kartun sosial, kartun politik dan kartun dakwah.

Balai Kartun Rossem bukan sahaja menyimpan hasil karya Pak Rossem tetapi pelbagai dokumen yang berkaitan dengan sejarah kartun dan perindustrian komik tanah air.
Foto: Facebook Pak Rossem.

Kini beliau masih aktif menghasilkan karya buat tatapan masyarakat bahkan telah melebarkan karya seninya ke peringkat antarabangsa. Sudah empat tahun beliau menimba pengalaman di peringkat antarabangsa. Beliau bukan sahaja terlibat sebagai peserta, malah sebagai penganjur pertandingan kartun dan juri di peringkat antarabangsa. Menurut Pak Rossem, terdapat tiga elemen yang menggerakkan industri kartun di peringkat antarabangsa, iaitu pelukis kartun, penganjur dan juri.

Pak Rossem telah membangunkan Balai Kartun Rossem (BKR) pada tahun 2014. BKR ini dibangunkan hasil daripada titik peluh beliau sendiri dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Erdana Mohd Amar Nik Abdullah. Balai ini terletak bersebelahan dengan rumah Pak Rossem di atas tanahnya sendiri di Jalan ke Bachok, Peringat, Kelantan.

Apa-apa yang menarik, BKR bukan sahaja menyimpan hasil karya Pak Rossem tetapi dokumen-dokumen yang berkaitan dengan sejarah kartun dan perindustrian komik tanah air selain turut menempatkan karya penulisan kesusasteraan. Oleh itu, tidak hairanlah Pak Rossem juga merupakan Ketua Dua Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang disertainya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.