Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Muzium Negeri Sarawak yang baharu dikenali sebagai Muzium Budaya Borneo telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac 2022.
Bangunan muzium lima tingkat yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak ini mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri yang mempamerkan pelbagai artifak dan barangan yang berkaitan dengan adat dan budaya suku kaum yang terdapat di Sarawak. Secara tidak langsung, Muzium Budaya Borneo ini membuktikan keunikan kraf tradisional dan kekayaan warisan budaya yang dimiliki oleh masyarakat di Sarawak. Acara kemuncak perasmian ialah penandatanganan plak yang terdapat di pintu masuk utama muzium oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Kemudian, semua tetamu kehormat dibawa masuk ke muzium dan melihat pameran yang terdapat di situ.
Muzium yang menjadi mercu tanda baharu di Sarawak dan diakui sebagai muzium bertaraf dunia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara ini akan dibuka kepada pengunjung bermula pada 9 Mac 2022. Ekoran negara masih berdepan dengan penularan COVID-19, pihak muzium menetapkan hanya 500 orang pelawat akan dibenarkan memasuki bangunan muzium pada satu-satu masa. Yang menariknya, untuk tempoh tiga bulan pertama, pelawat tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Primer Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai sebuah repositori bertaraf dunia, Muzium Budaya Borneo juga mampu menarik minat ahli akademik dan penyelidik dari institusi tempatan mahupun antarabangsa. Tambah beliau, objektif muzium itu yang memacu penyelidikan akan menggalakkan masyarakat menghargai kepentingan penyelidikan, dan secara tidak langsung masyarakat akan diserap dengan budaya penyelidikan. Seperti yang dapat dilihat di negara maju, masyarakat yang telah berakar umbi dengan budaya penyelidikan dan minda yang dipacu oleh data akan memiliki kemahiran untuk menganalisis dengan lebih baik, seterusnya menambah baik setiap aspek kehidupan. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Muzium Budaya Borneo.
Dalam kenyataan medianya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, apabila dibuka kepada orang awam, pengunjung akan dibawa melihat artifak yang dipamerkan supaya pengunjung dapat mengetahui dengan lebih dalam berkenaan sejarah dan dari mana tempat asal artifak tersebut. Selain itu, yang membezakan muzium ini dengan muzium yang lama adalah di galeri tertentu terdapat lampu-lampu yang akan menyala mengikut jejak kaki pengunjung yang datang ke galeri berkenaan.
Menurut Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah lagi, pembinaan Muzium Budaya Borneo bermula pada tahun 2014. Kompleks muzium bertaraf dunia bernilai RM323 juta itu mempunyai keluasan 6726 meter persegi. Antara tarikan yang bakal menemui pengunjung termasuklah Floor of Desire, Painted Caves, Sarawak in Motion dan banyak lagi. Pameran yang diadakan di Muzium Budaya Borneo memang sangat berbeza daripada muzium lain kerana keunikan binaannya serta teknologi yang digunakan untuk memberikan suatu pengalaman yang berharga kepada pengunjung. Di muzium itu juga terdapat bahagian yang memberikan pengalaman menarik seperti pengalaman berada di dalam gua yang menjadi salah satu aspek terpenting dalam landskap negeri Sarawak. Muzium ikonik serba baharu itu mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak.
Melalui laman Facebooknya, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Syukri menyatakan Muzium Budaya Borneo yang menjadi ikon kebanggaan Keluarga Malaysia di Sarawak ini diyakini mampu mengangkat nama Malaysia di mata dunia, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. Majlis perasmiannya yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook TVS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). Rakaman siaran majlis perasmian tersebut boleh ditonton melalui pautan YouTube ini.