Oleh Aisyah A.
9 Mac 2022, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelukis citra naif (naive art) dan penulis buku kanak-kanak terkenal, Mohd. Yusof Ismail atau lebih dikenali dengan Yusof Gajah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun di kediamannya di Kajang, hari ini. Khabar duka tersebut dimaklumkan oleh ahli keluarganya dan dihebahkan melalui laman Facebook Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA).

Dilahirkan pada 10 Februari 1954 di Johol, Negeri Sembilan, Pak Yusof menggunakan ikon gajah sebagai elemen utama dalam karyanya sama ada lukisan di kanvas mahupun menerusi ilustrasi buku kanak-kanak dan dari situlah beliau mendapat gelaran sebagai Yusof Gajah.

Minat beliau pada seni lukis bermula sejak berusia enam tahun. Beliau mendapat pendidikan seni lukis pada peringkat awal di Singapura pada sekitar tahun 1965 hingga 1969. Pada tahun 1972, beliau mendaftarkan diri di Sekolah Seni Rupa Indonesia di Jogjakarta sehingga tahun 1974. Beliau seterusnya menyambung pengajian di Akademi Seni Rupa Indonesia atau ASRI yang terkenal di Indonesia pada tahun 1975.

Karya terakhir yang dimuat naik di laman sosial Allahyarham Yusof Gajah.

Yusof Gajah aktif mengajar seni lukis khususnya kepada kanak-kanak pada sekitar tahun 1976 sehingga menubuhkan kumpulan Boneka Pustaka Bimbingan. ​​Sebagai pelukis profesional, Yusof Gajah telah berjaya mengadakan 12 pameran solo di dalam dan luar negara antaranya dua pameran solo yang telah dilaksanakan di Tokyo dan pameran solo yang lain telah diadakan di Jakarta, Phuket, Sweden, dan Jogjakarta, Indonesia. Enam pameran solo beliau di dalam negara pula telah diadakan di Kuala Lumpur. Dari masa ke masa, beliau turut mengadakan pameran berkumpulan bersama-sama barisan pelukis Malaysia serta pelukis di peringkat antarabangsa. Yusof Gajah turut terlibat dengan pameran lukisan dalam dan luar negara seperti Folk Art Festival di Sabah, Pameran Ilustrasi Buku Kanak-Kanak di Galeri Petronas, Peace Story Nambook di Korea dan banyak lagi.

Pada tahun 1980, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan kumpulan Si Nuri. Yusof Gajah terlibat secara aktif dalam kumpulan ini apabila beliau turut berlakon dalam teater kanak-kanak, iaitu “Sri Ayu” dan ikuti dengan “Tiga Ekor Gajah” .

Pada tahun 1982 pula, beliau bekerja di Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Yayasan Sabah. Ketika berada di sana, beliau turut terlibat dalam mengendalikan sesi bercerita dan melatih guru-guru tadika dalam membuat patung dan boneka. Selain itu, pada tahun 1986, beliau juga menjadi editor majalah kanak-kanak Timang Sayang terbitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Yusof Gajah juga terlibat sebagai hos, penulis skrip dalam rancangan Kerengge terbitan RTM. Ketika membuka galeri di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, beliau banyak terlibat dalam aktiviti mencari dana untuk hospital khususnya bagi wad kanak-kanak. Sepanjang hayatnya, beliau pernah menerima pelbagai anugerah seperti Best Children’s Picture Book, National Book Council di Kuala Lumpur, Children’s Picture Book Illustration di Jepun, Pratita Adi Karya di Indonesia dan banyak lagi.

Yusof Gajah dalam blognya menulis, “Aku mempunyai fantasi dan imaginasi di mana aku melihat banyak perkara. Oleh itu, di kala aku kebosanan, aku mampu menghasilkan pelbagai seni lukis. Gajah yang aku lukis bukanlah sekadar seekor gajah, namun ia berkait rapat dengan manusia.”

Takziah kepada keluarga Pak Yusof Gajah. Pemergian beliau menyebabkan Malaysia kehilangan satu lagi anak seni yang berbakat besar. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dirahmati selalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.