11 Mac 2022, 07:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan negara selaras dengan situasi negara yang akan memasuki fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik. 

Pengumuman yang dibuat oleh kerajaan ini disambut baik oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Pembukaan sempadan negara ini merupakan berita gembira buat penggiat dan pengusaha industri pelancongan yang telah menerima impak buruk sepanjang penutupan sempadan negara setelah dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak dua tahun yang lalu. 

Pengumuman yang dibuat adalah melibatkan perkara-perkara berikut:

  • Rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara tanpa sekatan serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang telah membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar;
  • Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan borang perlepasan melalui fungsi Traveller dalam MySejahtera;
  • Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK- Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan. Walau bagaimanapun, bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi akan diperincikan prosedurnya oleh Menteri Kesihatan; serta
  • Bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terlibat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, “Keputusan kerajaan membuka sempadan negara ini merupakan langkah bijak bagi memulihkan kembali ekonomi negara, terutama buat pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.”

Pihak MOTAC percaya Malaysia akan kembali bangkit dan menjadi destinasi pilihan yang popular dalam kalangan pelancong luar negara. 

MOTAC menasihatkan semua penggiat indsutri pelancongan dan kebudayaan untuk bersiap siaga dalam menyambut kunjungan pelancong luar negara. MOTAC sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama buat semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April 2022 nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.