Oleh Syaza Wardina
14 Mac 2022, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada hari ini melancarkan Kalendar Acara 2022 JMM, bertempat di Dataran Muzium Negara.

YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi merasmikan Pelancaran Kalendar 2022 JMM, Laman Web Baharu dan Aplikasi Muzium Negara AR.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, “Meskipun pada tahun ini kita masih mendepani cabaran pandemik COVID-19, namun hal yang demikian tidak mematahkan semangat kita malah setiap jabatan dan agensi di bawah MOTAC dilihat begitu aktif dan kreatif dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian dengan keadaan semasa, mengikut SOP yang ditetapkan.”

Tambah beliau, “JMM berjaya melaksanakan sebanyak 69 daripada 133 program pada tahun lalu. Walaupun rekod ini tidak mencapai sasaran JMM, namun saya melihatnya sebagai komitmen seluruh warga JMM dalam meningkatkan visibiliti institusi permuziuman sebagai hab kebudayaan yang mengadunkan warisan dan teknologi di negara ini, seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi industri pelancongan negara.”

JMM pada tahun ini telah merangka pelbagai program dan aktiviti permuziuman yang menarik, dengan sasaran 155 program dan aktiviti yang merangkumi lapan pameran, 22 program signature dan 125 perancangan pengembangan muzium. Program signature merupakan program tahunan berskala besar JMM seperti Hari Muzium Antarabangsa; Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM); [email protected]; dan Nostalgia Anak Kampung. Sementara itu, program pengembangan muzium terdiri daripada tiga kategori iaitu program jangkauan dalam atau inreach (39 program); program jangkauan luar atau outreach (29 program); dan program [email protected] (57 program), termasuk bicara atau forum kurator.

Barisan dif kehormat pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara JMM 2022, Laman Web Baharu dan Aplikasi Mudah Alih yang diadakan di Dataran Muzium Negara.

Antara program yang dijangka mendapat sambutan ialah Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda (30 Mei hingga 30 Oktober 2022 di JMM); Pameran Seniman Perak Sepanjang Zaman (8 September hingga 31 Disember 2022 di Muzium Perak) Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (19 hingga 25 Jun 2022 di Muzium Kelantan), Museum Night Trail (30 Mei dan 16 September 2022 di Muzium Negara), [email protected] Seni Kraf Orang Asli (23 hingga 24 Julai 2022 di Muzium Seni Kraf Orang Asli), [email protected] (bersempena sambutan Bulan Kebangsaan), Festival Kota Kuala Kedah (20 hingga 22 Oktober 2022 di Muzium Kota Kuala Kedah) dan Nostalgia Anak Kampung (Oktober hingga Disember 2022 di Muzium Negara, Muzium Kota Kayang, Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Adat dan Muzium Perak).

Dalam majlis yang sama, JMM turut melancarkan laman web baharu yang telah dinaik taraf berserta aplikasi mudah alih Muzium Negara AR. Aplikasi tersebut menawarkan informasi 28 koleksi terpilih kepada orang ramai dalam bentuk kandungan multimedia realiti terimbuh atau Augmented Reality (AR) 2D dan 3D.

Menurut Ketua Pengarah JMM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, “Pengalaman AR ini hanya boleh diterokai oleh pengunjung yang melawat ke Muzium Negara dengan memuat turun aplikasi sebelum atau semasa berkunjung ke Muzium Negara dan mengimbas penanda QR yang tersedia untuk menikmati pengalaman tersebut.”

Ketua Pengarah JMM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Aplikasi ini beroperasi dengan persekitaran sistem Android 7.0 dan iOS 12 ke atas yang dimuat turun melalui pelantar Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. Selain memberikan pengalaman AR, aplikasi ini juga merupakan pelantar kepada pengunjung Muzium Negara untuk menerokai pengalaman maya dan mendapatkan informasi lebih terperinci mengenai Muzium Negara termasuk harga tiket, waktu operasi, lawatan berpandu, pelan kawasan dan pelan lantai galeri/pameran, fasiliti, suapan berita program dan juga aktiviti semasa, trivia bangunan Muzium Negara serta pelantar media sosial Muzium Negara (laman web, Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!