Oleh Aisyah A.
25 Mac 2022, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Webinar Warisan Tidak Ketara Siri 1/2022 yang membawakan tajuk “Songket Malaysia Warisan Dunia” telah diadakan pada 24 Mac 2022 secara dalam talian melalui semua platform sosial media Jabatan Warisan Negara. Webinar tersebut menampilkan Mantan Pengarah Bahagian Daftar Warisan, Encik Khalid Syed Ali sebagai moderator dan panel penilai yang terdiri daripada Pereka Fesyen, Encik Salikin Sidek dan Pengurus Seri Gedong Songket, Puan Ramtiniwaiti Ramlee.

Webinar tersebut membincangkan kepentingan menjaga dan menggunakan songket sebagai warisan nenek moyang dalam pemakaian baju Melayu, baju pengantin dan sebagai pakaian untuk menerima penganugerahan dan sebagainya.

Songket yang dikenali dengan gelaran “Ratu Kain” dalam tenunan Melayu telah berjaya melakar sejarah apabila disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) oleh Jawatankuasa antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara ke-16 pada Disember tahun lalu, manakala keputusan pencalonan songket telah diumumkan pada 15 Disember 2021.

Menurut Encik Salikin, sebagai pereka fesyen, beliau banyak menekankan penggunaan songket kepada pelanggan-pelanggan beliau terutama pada bakal pengantin. Beliau juga agak kecewa kerana pemakaian songket dipandang remeh oleh generasi kini apabila sampin yang diperbuat dari songket tidak lagi dipakai dengan meluas bersama Baju Melayu.

Seperti motif batik yang digalakkan oleh kerajaan untuk dipakai pada hari Khamis kepada penjawat awam khususnya, beliau mencari-cari ruang untuk “Ratu Kain” ini juga boleh diangkat dan dipakai dengan meluas oleh rakyat Malaysia supaya peninggalan tersebut tidak terhakis dari memori Keluarga Malaysia.

Menurut Puan Ramtiniwaiti pula, beliau pernah berkhidmat di Semenanjung Malaysia sebelum memutuskan untuk pulang ke tanah kelahiran beliau, iaitu negeri Sarawak apabila beliau diamanahkan dengan Seri Gedong Songket. Di sana, beliau sendiri menenun songket di samping menguruskan butik songket tersebut untuk memastikan kemahiran menenun tidak hilang dari jari.

Beliau berkata, bagi memastikan tinggalan songket ini terus hidup, songket harus dipakai dengan meluas supaya kain ini terus dikenali. Proses tenunan juga perlu diuar-uarkan kepada generasi baharu bagi mencari pelapis yang akan meneruskan tinggalan nenek moyang ini. Beliau juga berpendapat, jika songket diperkenalkan secara meluas, peluang untuk mencari anak-anak muda yang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berminat dalam industri tersebut adalah lebih besar.

Pemakaian songket kini semakin pudar dalam kalangan rakyat negara ini. Jika songket diperkenalkan semula, warisan ini mampu memberi pulangan yang besar kepada negara di samping mampu menambah tenaga kerja dalam tenunan songket.

Tidak dinafikan kain songket, sama seperti batik, adalah sedikit mahal kerana prosesnya yang rumit dan mengambil masa yang lama. Namun begitu, ada juga kain songket yang dijual dengan harga mampu milik dan boleh digayakan untuk ke majlis-majlis atau sebagai pakaian pada hari raya kerana songket pada zaman ini berbeza dengan zaman dahulu yang hanya dipakai oleh golongan bangsawan, namun kini, songket sangat digalakkan untuk dipakai oleh setiap lapisan masyarakat.

Pengiktirafan UNESCO adalah satu anugerah yang berprestij yang perlu dibanggakan oleh setiap warga Malaysia dan dijaga dengan baik dan menyokong industri tersebut agar ianya tidak menjadi satu pengiktirafan retorik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.