27 Mac 2022, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha merealisasikan karya seni awam dan membawa seni negara kepada masyarakat dalam dan luar negara, Balai Seni Negara melaksanakan inisiatif dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), iaitu menerusi pameran karya seni KUL Art Airport yang berlangsung dari Januari sehingga Jun 2022.

Inisiatif ini adalah untuk memberikan peluang kepada para seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di platform antarabangsa selain menambah baik faktor keselesaan dan bersifat mesra pelanggan di ruang lapangan terbang kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa.

KUL Art Airport boleh dikunjungi di empat buah lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pendekatan KUL Art Airport juga sejajar dengan konsep “Seni di Lokasi” yang telah diperkenalkan oleh Balai Seni Negara malah dilihat dapat menjadi satu daripada projek seni karya awam yang mengangkat seniman tempatan dalam mempromosikan karya seni di pintu masuk negara.

Polyhedron Pavilion di KLIA.
Sumber: Laman web dan Facebook Balai Seni Negara.

Di KLIA, para pengunjung boleh menikmati karya seni awam bertajuk Polyhedron Pavilion. Projek ini direka berdasarkan kajian geometri yang berasal daripada budaya tatu suku kaum Malaysia Timur. Seni tatu menggunakan geometri yang dianggap sebagai sains purba dalam meneroka dan menerangkan corak tenaga. Corak ini mencipta dan menyatukan semua perkara di alam semesta. Geometri ialah bahagian teras matematik, sejak abad keenam SM dan merupakan prinsip saintifik teras di sebalik seni bina purba, termasuk piramid Mesir. Selain itu, orang Mesir purba ialah orang pertama yang menggunakan tatu geometri. Polyhedron Pavilion ialah hasil daripada manifestasi geometri tersebut.

Polyhedron Pavilion ini adalah untuk memanfaatkan identiti tempatan yang diilhamkan oleh seni dan kraf tempatan. Struktur pavilion boleh alih ini bergerak ke bandar dan negeri yang berbeza untuk mempromosikan seni dan kraf tempatan dengan pelbagai poster dipaparkan di dalamnya. Pemilihan poster akan mempamerkan koleksi seni negara. Paparan itu akan memupuk kesedaran tentang karya seni tempatan dan memberi inspirasi kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa ke KLIA.

OH! Budaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sumber: Laman web dan Facebook Balai Seni Negara.

OH! Budaya pula merupakan projek yang dapat dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Projek ini mengalu-alukan pengunjung ke portal budaya yang terdiri daripada panel-panel yang saling berkait dan membentuk sebuah laluan berselirat. Setiap panel mempunyai keunikan yang tersendiri dan apabila disatukan, panel ini berdiri dengan cantiknya bagi membentuk corak yang penuh. Penyilangan panel ini mengingatkan kita bahawa kita mempunyai keunikan dengan cara yang tersendiri, namun berkongsi identiti yang sama, iaitu sebagai rakyat Malaysia.

Menerokai ruang ini membolehkan kita menghayati kepelbagaian warna, masyarakat dan budaya tanpa sempadan. Menggunakan corak budaya ringkas yang diperbuat daripada papan lapis dan plexiglass yang diguna semula, ini merupakan karya yang mesra keluarga dan inklusif untuk dinikmati semua.

The Nature Mind of Landscape di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Sumber: Laman web dan Facebook Balai Seni Negara.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, para pelancong domestik dan antarabangsa boleh menghayati karya The Nature Mind of Landscape. Karya ini ialah sebuah karya grafiti untuk mengingatkan generasi kini tentang kepentingan alam dan haiwan hidupan liar yang semakin pupus. Karya ini menggambarkan beberapa jenis haiwan liar dengan berlatarbelakangkan landskap hutan dan keberadaan figura wanita memperlihatkan bagaimana hubungan antara manusia dengan alam semula jadi. Gambaran daripada warisan alam dan hidupan liar yang terdapat dalam karya ini juga ialah satu daripada keunikan negeri Sabah yang perlu dilindungi dan dipulihara.

Reciting Hope di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Sumber: Laman web dan Facebook Balai Seni Negara.

Karya Reciting Hope pula boleh dinikmati oleh para pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Karya ini dihasilkan sebagai satu perlambangan terhadap visi tersebut yang membawa nilai kebudayaan dan alam semula jadi. Sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, kita menjadikan alam sekitar dan budaya di sekeliling kita sebagai sumber ilmu dan inspirasi ke arah pertumbuhan teknologi digital.

Reciting Hope merupakan karya yang terdiri daripada gabungan elemen alam semula jadi, pembangunan dan teknologi. Dari segi representasi dan ekspresi karya arca ini, karya ini menstrukturkan dirinya kepada dua bentuk utama (saling berkait) yang membawa maksud harapan. Bahagian konkrit pecah ini melambangkan bencana akibat peperangan, kejatuhan ekonomi, bencana alam sekitar, dan wabak yang membawa kepada isu sosial, kemelesetan ekonomi, dan kemiskinan.

Dengan mempraktikkan teknologi maya realiti terimbuh (AR), para pengunjung dapat melihat seekor burung kenyalang menjelma dan terbang dengan anggun mengelilingi karya. Hal ini melambangkan pertumbuhan lestari yang ingin dicapai di Sarawak melalui inisiatif digital di samping memelihara nilai budaya dan alam semula jadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.