7 April 2022, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ditubuhkan pada tahun 1985 dan hingga kini pusat ini mempunyai 5119 naskhah manuskrip Melayu, manakala sejumlah 600 naskhah telah dibuat salinan dalam bentuk mikrofilem. Manuskrip ini meliputi lapan bidang utama merangkumi sastera kitab, hikayat, sastera epik, wayang dan panji, sastera sejarah, kisah Islam, tatanegara dan perundangan serta ilmu tradisional. Ilmu tradisional yang terdapat dalam manuskrip tersebut telah diselidiki turut dikongsikan serta dipaparkan kepada umum sebagaimana yang telah dilakukan kepada naskhah perubatan yang dinamakan Kitab Tib.

Untuk menyebarkan warisan ilmu yang ada pada naskhah perubatan Melayu tradisional ini, PNM telah menerbitkan Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu oleh Harun Mat Piah (Dr.), pengkaji dan penyelidik manuskrip Melayu, pada tahun 2019.

Buku ini mengandungi fasal-fasal perubatan yang antaranya turut dikongsikan oleh Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad baru-baru ini. Sudah tentu, generasi moden hari ini tidak mahu ketinggalan untuk mengetahui apakah rahsia warisan sihat dan cantik yang telah diformulasikan oleh generasi kita terdahulu.

PNM telah menerbitkan Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu oleh Harun Mat Piah (Dr.), pengkaji dan penyelidik manuskrip Melayu, pada tahun 2019.

Berdasarkan sumber PNM, manuskrip Kitab Tib dengan daftar MSS 1323 merupakan manuskrip yang bertarikh 1302H yang dihasilkan daripada kepingan buluh yang diikat dengan tali. Ilmu perubatan yang terkandung dalam manuskrip ini berkaitan dengan rawatan sakit mata, cara mengubati luka yang berdarah serta azimat dalam perubatan tradisional. Manakala manuskrip Kitab Tib dengan daftar MSS 489 pula menjelaskan berkaitan cara mengubati pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan bahan daripada pokok dan tanaman yang dicampurkan dengan rempah ratus.

Pada era kini, perusahaan berasaskan tumbuhan herba dan rempah ratus dalam menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan perlu mendapat lesen perusahaan dan lulus ujian klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati syarat dan undang-undang serta piawaian produk yang dibenarkan. Pengeluar produk juga dilarang dalam promosi dan pengiklanan dengan menyatakan bahawa produk berasaskan herba keluaran syarikat mereka mampu mencegah atau merawat sesuatu penyakit.

Profesor Madya Dr.Salmah Jan binti Noor Muhammad.

Seterusnya,  mari kita meneliti perkongsian daripada Profesor Madya Dr. Salmah Jan berkaitan dengan manuskrip Melayu ini. Beliau menyatakan bahawa  kandungan yang terdapat dalam teks manuskrip Melayu berkaitan dengan syarat menjadi tabib.

Tabib ialah seseorang yang mempunyai ilmu untuk merawat serta mengetahui penyakit yang dialami oleh seseorang. Kebiasaannya dalam masyarakat Melayu, seseorang yang bertaraf tabib dalam masyarakat bukan sahaja memiliki kemahiran dalam perubatan semata-mata tetapi juga mempunyai pengetahuan pelbagai ilmu lain seperti ilmu ghaib khususnya berkaitan dengan ilmu kosmologi. Ilmu ini merupakan kaedah untuk  memahami hubungan alam semesta dengan sesuatu penyakit yang ada pada manusia.

Seterusnya adalah berkaitan dengan sukatan waktu yang mesti dipatuhi oleh tabib dan pesakit yang dirawat. Sukatan waktu ini juga merupakan penetapan waktu yang diperlukan untuk melihat keberkesanan tindak balas ramuan yang diberikan kepada sesuatu penyakit. Waktu merawat pesakit tidak boleh berlaku pada sembarangan waktu, kebiasaannya ada waktu-waktu tertentu perlu dipatuhi oleh tabib dalam melakukan perawatan. Contohnya, perubatan yang hanya dijalankan pada waktu pagi sahaja kerana apabila melangkaui waktu tersebut dikhuatiri  ramuan yang diberikan tidak lagi mujarab. Selain itu, pesakit mestilah mematuhi tempoh masa penggunaan ramuan ubat yang telah ditetapkan bagi memastikan keberkesanan ubat yang telah diberikan dan memberikan kesembuhan kepada penyakit tersebut.

Perkara ketiga yang terpenting dalam kaedah perubatan berdasarkan naskhah perubatan Melayu ini adalah berkaitan dengan sukatan, ukuran dan timbangan bahan ramuan yang disediakan kepada seseorang pesakit. Setiap diri individu adalah tidak sama walaupun mempunyai penyakit yang sama. Oleh itu, para tabib akan memastikan sukatan yang betul diberikan kepada pesakit dan juga akan melihat serta mengenal pasti kemujaraban bahan ramuan yang diberikan kepada pesakit, iaitu sama ada kesannya bertambah baik atau menjadi lebih buruk atau semakin teruk penyakit yang dihidapi oleh  pesakit yang diubati. Justeru itu, sukatan ini perlulah dipatuhi oleh pesakit agar bahan ramuan yang telah disediakan benar-benar berkesan untuk merawat penyakit tersebut.

Seperti yang dimaklumi, bahan-bahan ramuan perubatan Melayu yang terdapat dalam naskhah Melayu ini terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan dan rempah ratus. Tabib ketika ini amat memahami penyakit yang dialami oleh seseorang, dan khasiat sesuatu ramuan yang telah dicadangkan kepada pesakit kebiasaannya telah pun diketahui sejak turun-temurun lagi. Contohnya, pada naskhah MSS 2515 bagi pesakit yang mengalami sakit senak hulu hati, ramuan yang disediakan kepada pesakit adalah untuk diminum dan juga untuk sebagai ubat luaran sahaja.

Ramuan yang diperlukan ialah buah pelaga dan kulit kayu manis. Bahan-bahan tersebut perlu digiling sehingga halus dan kemudiannya dicampurkan dengan air madu. Setelah itu,  diminum. Sebagai tambahan ramuan, diambil pula lada sulah tujuh biji, jintan hitam, halba dan lengkuas. Kesemua bahan ini juga hendaklah digiling sehingga lumat dan dicampur dengan sedikit air sehingga menjadi pes dan kemudian disapu pada bahagian yang dimaksudkan atau yang terkena penyakit. Berdasarkan contoh daripada manuskrip MSS 2515 ini juga telah didedahkan kaedah pembuatan dan penggunaan ubat oleh pengarang manuskrip ini. Ramuan ubat yang disediakan untuk pesakit sama ada untuk diminum, dimakan atau kegunaan luar sahaja, iaitu sebagai salap atau diletakkan pada tempat yang sakit untuk tujuan mengeluarkan angin, melegakan sakit dan sebagainya.

Perihal keenam yang direkodkan dalam kandungan naskhah perubatan Melayu berdasarkan perkongsian Profesor Madya Dr. Salmah Jan adalah berkaitan dengan pantang larang yang mesti diikuti oleh tabib dan juga kepada pesakit ketika dalam perawatan. Contohnya berkaitan pantang larang yang dijelaskan oleh beliau, antaranya bagi penyakit mata hendaklah seseorang itu mengelakkan mengambil makanan yang manis dan unjuran ini terhubung pula dengan kesan penyakit diabetes yang boleh menyebabkan buta jika gula terlalu tinggi dalam darah pesakit.

Bagi penyakit kurap pula,  pantang larangnya ialah tidak boleh makan ikan yang licin seperti belut, daging, asam dan segala yang melata. Manakala pantang larang kepada orang yang mengambil julap atau ramuan untuk memudahkan pencernaan tidak dibolehkan terkena hujan, bimbang akan boleh membawa maut. Ini antara pantang larang yang terhubung dengan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan ramuan bahan yang diberikan oleh tabib akan menjadi tidak mujarab atau akan menjadikan pesakit sukar untuk dirawat. Oleh sebab itu, dalam keadaan masa kini, terdapat pantang larang yang perlu difahami oleh semua orang, agar penyakit yang dialami akan dapat dirawat atau mungkin dapat disembuhkan.

Ringkasan kandungan naskhah perubatan Melayu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!