13 April 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat Malaysia semestinya ialah bazar Ramadan.

Ketika seluruh Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, kebanyakan daripada kita merindui suasana dan pelbagai hidangan yang dijual di sana. Walaupun tahun lepas kerajaan membenarkan penganjuran bazar Ramadan pada awalnya tetapi bazar Ramadan di tujuh buah negeri diarah tutup dan tidak dapat beroperasi ke penghujung Ramadan akibat peningkatan kes pandemik COVID-19.

Berbezanya Ramadan pada tahun ini adalah apabila negara kita sudah dalam peralihan ke fasa endemik mulai 1 April 2022 dan kerajaan mengumumkan tiada sekatan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bazar didefinisikan sebagai sekelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai-bagai-bagai barang. Di Malaysia, pada bulan Ramadan, terdapat dua bazar, iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri. Para peniaga di bazar Ramadan kebanyakannya menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk hidangan berbuka puasa dan kebiasaannya bazar ini mula beroperasi pada pukul 3.00 petang hingga waktu berbuka setiap hari.

Bazar Aidilfitri pula, para peniaganya menjual barangan bagi persiapan sambutan Aidilfitri seperti baju raya, kuih raya dan sebagainya yang beroperasi seawal pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.

Bazar Ramadan di negara kita bukan sekadar menjadi tumpuan umat Islam yang ingin membeli juadah untuk berbuka berpuasa tetapi turut menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Bukan itu sahaja, para pelancong dari luar negara juga gemar mengunjungi bazar Ramadan untuk lebih mengenali budaya masyarakat Malaysia menerusi makanan.

Walaupun ada yang menyatakan bazar Ramadan juga sama seperti pasar malam tetapi pada dasarnya ada sedikit perbezaan antara kedua-duanya. Hal ini dikatakan demikian kerana bazar Ramadan ada menawarkan hidangan yang lebih bersifat tradisional dan warisan seperti ketupat, lemang dan rendang yang jarang-jarang didapati di pasar malam.

Kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat di Malaysia menjadikan Malaysia mempunyai pelbagai variasi makanan warisan dan hal ini merupakan antara faktor kemeriahan bazar Ramadan yang ada di negara kita. Umumnya, makanan warisan merupakan makanan yang dimakan pada masa dahulu dan mewakili nilai tradisional. Berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Aktab 645), makanan warisan terangkum dalam warisan tidak ketara dan secara umumnya makanan warisan merupakan makanan tradisional.

Setiap negeri mahupun daerah memiliki keunikan makanan tempatan masing-masing dan mencerminkan identiti budaya sesebuah kawasan tersebut. Jadi, setiap bazar Ramadan yang ada adalah tidak sama kerana masing-masing menawarkan pelbagai makanan tradisional yang berbeza-beza berdasarkan kawasan masing-masing.

Makanan tradisional yang ada di bazar menjadi buruan masyarakat setempat kerana setiap makanan tradisional di negara kita bukan hanya unik dari segi nama semata-mata tetapi juga turut memiliki keistimewaan dari segi penggunaan bahan, peralatan memasak dan kaedah memasak dalam proses pembuatannya.

Bazar Ramadan juga menjadi tumpuan masyarakat kerana ada sesetengah peniaga hanya memilih untuk berniaga sajian mereka hanya di bazar Ramadan sehingga menyebabkan ada yang tertunggu-tunggu bazar Ramadan saban tahun hanya untuk merasai hidangan tersebut. Bukan itu sahaja, pasti akan ada hidangan yang tular dari bazar Ramadan pada setiap tahun terutamanya kuih tradisional yang jarang ditemui bahkan tidak langsung diketahui kewujudannya dalam kalangan masyarakat negara kita.

Kuba Guling atau Kerbau Guling merupakan hidangan yang tular di bazar Ramadan pada tahun 2018. Kuih ini bukan sahaja memiliki nama yang unik tetapi juga mempunyai rasa yang enak sehingga menjadi tarikan setiap kali tibanya bulan Ramadan. Kuih yang berasal dari Thailand dan agak terkenal di wilayah sempadan Kelantan dan Thailand ini sebenarnya dikenali dengan nama Kuih Hitam atau Koleh Hitam yang mempunyai tekstur lembut dan dimakan bersama kelapa parut.

Kuih Kuba Guling.

Kuba Guling dibuat berasaskan estrak arang daripada tempurung kelapa yang dibakar pada suhu yang tinggi yang menjadikan warnanya hitam likat dan sangat berbeza berbanding kuih tradisional yang lain. Kuih ini menjadi tular mungkin kerana namanya yang unik dan juga merupakan satu-satunya kuih tradisional yang menggunakan arang berasaskan tempurung kelapa.

Jika di sebelah Pantai Timur, ada kuih tradisi Kuba Guling atau Kerbau Guling yang tular di seluruh negara pada tahun 2018, kuih selak pintu atau pepudak pula yang merupakan kuih tradisi kaum Banjar. Kuih ini yang jarang ditemui dan hanya muncul pada bulan Ramadan dan ketika ada keraian-keraian tertentu sahaja kerana proses pembuatannya yang rumit. Kuih ini yang turut dikenali sunduk lawang dalam bahasa Banjar berbentuk memanjang seperti kayu selak pintu rumah pada zaman dahulu.

Walaupun terdapat pelbagai kuih moden di negara kita tetapi masyarakat masih merindui kuih tradisional warisan nenek moyang kita. Buktinya, kebanyakan kuih yang tular di bazar Ramadan ialah kuih tradisional.

Selain kuih tradisional, antara yang ada paling dirindui setiap kali tibanya bulan Ramadan sudah pastilah air katira. Air katira sangat terkenal di negeri selatan tanah air, Johor. Walaupun tidak dapat dipastikan dengan tepat asal usul air ini kerana ada sumber yang menyatakan air katira berasal daripada negara Singapura dan ada pula yang menyebut air ini merupakan minuman kegemaran orang Islam di India Selatan. Air katira yang berwarna hijau ini hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja kerana dikatakan pemilik asal resepi air tersebut telah mewasiatkannya sedemikian rupa.

Keluarga Malaysia pasti merindui keenakan dan kelazatan pelbagai sajian dan hidangan di bazar Ramadan setelah dua tahun tidak dapat menikmatinya. Bukan sahaja keenakan hidangan tersebut yang dirindui tetapi masyarakat juga sebenarnya sangat merindui kemeriahan suasana membeli hidangan berbuka di bazar Ramadan.

Berkunjung ke bazar Ramadan dan memilih sendiri hidangan yang diinginkan sudah tentunya memberikan kepuasan buat masyarakat. Keunikan yang ada di setiap bazar Ramadan di kawasan yang berbeza-beza sewajarnya dijadikan sebagai antara lokasi tarikan pelancong terutamanya dalam mempromosikan pelbagai sajian dan juadah warisan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.