15 April 2022, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Istana Budaya (IB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan telah mengadakan Bengkel Membuat Tanjak Kreasi dan Semutar pada 13 dan 14 April 2022.

Poster Bengkel Membuat Tanjak Kreasi dan Semutar@Istana Budaya.

Bengkel ini telah dihadiri seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Istana Budaya dan juga individu yang berminat serta menghargai seni warisan ini, malah ada peserta yang hadir dari Johor Bahru. Para peserta telah mendapat tunjuk ajar oleh tenaga pakar sebenar yang memang arif dalam selok-belok penghasilan tanjak tradisional dan tanjak kreasi.

Untuk tujuan itu, dua pertubuhan telah terlibat dalam bengkel ini untuk turut membimbing serta memberikan ceramah kepada para peserta. Kedua-dua orang pembimbing berpengalaman luas dengan warisan ini, iaitu Cikgu Razali Raffiee (penceramah utama) dan Encik Hisham Jaafar (pembantu penceramah).

Cikgu Razali Raffie meneliti tanjak yang telah dihasilkan oleh peserta.

Menerusi bengkel ini, peserta diberikan pendedahan dan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan dengan tanjak dan sudah tentu akan menyuburkan rasa cinta untuk mengekalkan pemakaiannya serta tidak berasa kekok mahupun asing apabila diminta untuk membuat tanjak, sama ada untuk acara kebudayaan dan kesenian mahupun dipakai pada bila-bila masa sahaja.

Cikgu Hisham Jaafar, merapikan lagi tanjak yang dihasilkan oleh peserta.

Bengkel ini merupakan satu langkah berterusan yang dilaksanakan oleh Istana Budaya bagi meningkatkan ilmu pengetahuan kakitangan untuk peningkatan kepakaran dalam aspek artistik seni budaya dan seni persembahan bertaraf antarabangsa. Melalui bengkel ini juga, para peserta akan dapat memahami fungsi dan falsafah di sebalik ciptaan tanjak dan semutar sebagai simbolik yang amat besar maknanya khususnya bagi kaum lelaki.

Ts. Mohd Fadzley Abd Shukor, Pengarah Senireka Istana Budaya menggayakan tanjak yang dihasilkan dalam Bengkel Membuat Tanjak Kreasi dan Semutar@Istana Budaya.

Menurut Encik Ts. Mohd. Fadzley Abd. Shukor, Pengarah Seni Reka, Istana Budaya, bengkel yang dilaksanakan ini dapat memberikan ruang untuk pertukaran maklumat, pengetahuan dan kepakaran antara peserta dan penceramah.  Selain itu, permuafakatan dalam menyokong seni budaya dan penyebaran maklumat berkenaan perkembangan kegiatan kesenian dapat dilaksanakan kepada golongan sasaran iaitu peserta yang terlibat.

Tamat sesi perbengkelan pada hari kedua, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, budayawan nasionalis dan penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan oleh Jabatan Agama Islam Melaka sebagai tetamu kehormat, diiringi oleh Encik Zaifri Husin, Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya telah menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah dan sijil penyertaan kepada para peserta.

Melalui ucapannya, beliau berharap, generasi hari ini mempunyai minat yang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan dan mengekalkan segala warisan yang dimiliki.

Sekiranya hilang warisan ini, maka sudah tidak bermaknalah lagi martabat peradaban. Tanjak dan semutar merupakan simbol kebernasan dan keberanian seorang lelaki, sekiranya pemakaian ini lenyap ditelan zaman, maka bermakna jiwa kepahlawanan serta semangat yang teguh kepada paksi watan terhakis dan turut lenyap.

Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (duduk kiri) tidak mahu generasi hari ini melupakan warisan tanjak dan semutar. Turut bersama ialah Encik Zaifri Husin, Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya (duduk tengah) dan Dato’ Haji Nazri Kamal Al-Bentan (duduk kanan).

Turut hadir dalam perbengkelan dua hari ini ialah Dato’ Haji Nazri Kamal Al-Bentan, Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia. Pegawai projek bagi bengkel yang dianjurkan ini ialah Encik Raduan Norudin yang juga merupakan Penolong Pengarah Kostum, Bahagian Senireka, Istana Budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.