Oleh Syaza Wardina
27 April 2022, 20:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) pada hari ini mengadakan “Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman”, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Program bual bicara secara santai ini menampilkan nama yang tersohor dalam industri seni muzik tanah air sebagai ahli panel, iaitu Datuk Habsah Hassan, Encik Fauzi Marzuki, Dato’ Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah), Encik Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Fuzi), Encik Muhammad Naim Daniel Baharin (Naim Daniel) dan Puan Nurul Aina Abdul Ghani (Aina Abdul). Dalam program tersebut juga, Encik Adlin Aman Ramlie bertindak sebagai moderator yang mengajukan pelbagai bentuk persoalan yang menarik untuk dikupas oleh barisan ahli panel.

Menurut Ketua Bahagian BPSKR, Puan Ariza Che Ismail, program ini diadakan bagi tujuan memberikan penulisan lirik lagu yang baik dan berestetika kepada pelajar. Selain itu, program ini juga merupakan wahana untuk memupuk kesedaran berbahasa kebangsaan dengan baik dan betul untuk dipraktikkan oleh masyarakat.

Pengurusan Tertinggi DBP bersama-sama barisan ahli panel dan moderator Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapan beliau menyatakan, “Program yang diadakan pada hari ini merupakan ruang yang baik untuk kita mendengar pandangan daripada penulis lirik dan artis tersohor yang mewarnai dunia seni muzik negara pada ketika ini. Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat khususnya kepada para pelajar institusi pendidikan tinggi yang hadir pada hari ini.”

Datuk Habsah Hassan dikatakan telah menulis lebih daripada 1000 lirik lagu.

Menurut Datuk Habsah Hassan, perjalanan rentasan estetika seni muzik beliau bermula dengan tugasan beliau sebagai penulis skrip di stesen televisyen yang terkenal di Malaysia. Katanya, “Saya berminat dengan apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan kata-kata. Saya juga akan mencari cerita yang berkaitan dengan perkara yang akan dilalui oleh setiap manusia.”

Karya seni harus datang dari hati, kerana hanya yang datang dari hati yang akan menyentuh hati.

Dalam program tersebut, penyanyi Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu menyatakan bahawa lirik lagu tanpa makna ibarat hanya sebagai sebuah rumah tanpa tiang seri. “Setiap cerita yang hendak disampaikan haruslah mempunyai hubungan serta memberikan penjiwaan dan ‘roh’ kepada lagu dan orang yang mendengarnya. Oleh sebab itu, penggunaan bahasa yang baik amat penting dalam penciptaan lirik lagu,” jelas Aishah.

Moderator dan ahli panel Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman.

Yang berikut diperturunkan antara amanat penting yang disampaikan oleh ahli panel kepada penonton Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman;

“Untuk membuat lagu, perlulah ikhlas agar lagu yang dihasilkan akan melekat pada hati pendengar.” – Fauzi Marzuki.

“Keindahan lirik lagu pada zaman dahulu menjadikan saya seperti orang muda yang terperangkap dalam jiwa orang tua” – Aina Abdul.

“Apa-apa yang dikerjakan oleh generasi terdahulu, jika hasilnya baik, maka akan kekal relevan sepanjang zaman. Maka itu, saya akan cuba menulis dengan seikhlas mungkin supaya hasil yang terbaik akan diingati dan memberikan manfaat sepanjang zaman.” – Naim Daniel.

“Keadaan semasa mempengaruhi ciptaan lagu. Saya dan ahli kumpulan saya akan menulis lagu yang mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada masyarakat berdasarkan situasi semasa yang berlaku di dalam negara.” – Eric Fuzi.

Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman dihadiri oleh pensyarah dan pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial DBP.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurusan Tertinggi DBP yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!