Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menjelang Syaaban dan Ramadan yang lalu hingga sekarang, sebahagian daripada lirik lagu ini tular di media sosial ekoran warga internet menggunakannya pada hantaran atau ulasan dalam akaun Facebook masing-masing mengenai isu peribadi, atau umum yang boleh dikaitkan.
Saya sendiri pada mulanya tidak mengetahui apa-apa mengenai lirik tersebut yang berbunyi, “Dengarkanlah di sepanjang malam aku berdoa …”. Soalan rakan kepada saya juga tidak dapat dijawab, dan pertanyaan saya sendiri tanpa sebarang jawapan.
Rupa-rupanya bait teresebut merupakan sebahagian daripada lirik lagu berunsur ketuhanan, Cinta Sampai Mati dendangan Raffa Affar, anak muda kelahiran Depok, Jawa Barat, Indonesia. Raffa atau nama sebenarnya, Raffa Aldiansyah merupakan selebriti muda yang berjaya di media sosial kerana dapat menarik lebih empat juta orang pengikut di aplikasi TikTok. Justeru, namanya kian terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia, apatah lagi di Indonesia menerusi lagu tunggal ini.
Cinta Sampai Mati, hasil ciptaan sepenuhnya Ayu Rizki Yani, isteri kepada Dodhy, pemain gitar kumpulan Kangen Band, yang dilancarkan di bawah label muzik Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei dan Singapura sahaja. Untuk pasaran di Indonesia dan negara-negara lain, lagu ini dilancarkan di bawah label muzik Botram Media Entertainment.
“Saya mengaku sudah lama ingin mempunyai lagu tunggal asli sendiri. Hasrat ini menjadi kenyataan menerusi Cinta Sampai Mati,” kata Raffa yang memang berharap lagu ini disukai ramai.
Raffa yang dikenali dengan suara unik dan wajah kacak ialah penyanyi yang membawakan genre lagu berkonsepkan ketuhanan, mahupun selawat serta nasyid. Selain membawa genrenye tersendiri, Raffa suka menyanyikan semula lagu lain yang popular untuk dimuatkan dalam akaun media sosialnya.
Pada asalnya, lagu tunggal ini diberi judul Dengarkanlah oleh Ayu Rizki, sebelum Botram Media Entertainment mengambil keputusan memilih judul yang lebih sejagat, agar mesejnya yang mempunyai maksud cinta kepada kedua-dua ibu bapa (yang masih ada mahupun yang telah tiada), keluarga, dan pasangan dapat sampai ke sasaran.
“Maka itu, terciptalah judul baharu yang mempunyai lirik baharu dalam lagu tunggal ini. Oleh itu, menjelang pelancarannya, tajuk lagu ini menjadi Cinta Sampai Mati,” jelas Raffa.
Cinta Sampai Mati terbitan Hermawan dan John Li sebagai penerbit eksekutif ini antara lagu tunggal pertama kolaborasi Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertaintment. Untuk lagu tunggal pertamanya ini, Raffa telah cuba menghasilkan genre muzik yang sedikit berbeza daripada lagu-lagu tular. Justeru, beliau mengambil Ivan Lahardika sebagai Pengarah Vokal dan Yuki Senandika pula sebagai penyanyi latar.
Dengan harapan kehadiran Raffa yang baru berusia 20 tahun mampu memberikan nuansa baharu, Cinta Sampai Mati nyanyian asalnya ini boleh didengari di seluruh pelantar muzik. Video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Hayat Kreatif Studio.
Hak cipta Cinta Sampai Mati dipegang oleh OP: PT Safinah Musik Entertaintment/SP: Hayat Kreatif Studio. Pengedarannya diuruskan oleh Hayat Kreatif Studio sendiri secara jualan digital di pelantar penstriman, YouTube dan iTunes di Malaysia, Singapura, dan Brunei.