18 Mei 2022, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Besi − Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), iaitu Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor, pemuda dari Setia Alam, Selangor bersemangat menjalankan Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) #FarisNoor ke 20 buah negara di Eropah.

Satu daripada objektif misi pengembaraan solo di 20 negara Eropah adalah untuk mengangkat budaya Malaysia melalui pakaian, makanan, lagu rakyat dan dikir barat. Menurut Faris Noor, selain membawa lagu rakyat, matlamat utamanya adalah untuk menjejak alumni UPNM yang bekerja atau menetap di sana, mempelajari budaya masyarakat di Eropah dan memperkenalkan kesenian serta kebudayaan Malaysia kepada mereka.

Faris Noor berpeluang memperkenalkan seni dan budaya Malaysia di luar negara malah masyarakat Eropah mempunyai peluang menikmati air tangan Faris Noor yang menyediakan juadah Malaysia seperti nasi lemak dan kuih-muih pada program Malam Kebudayaan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di perantauan dengan pelajar asing dan Alumni UPNM ialah memori yang cukup indah dalam misi pengembaraan ini. Bait-bait lagu rakyat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan begitu mudah untuk diikuti meskipun baru pertama kali didengari. Kedengaran lagu rakyat seperti Rasa Sayang, Ala Changung, Anak Ayam, Anak Itik Tok Ti, Anak Ondeng, Bapaku Pulang dari Kota, Jong-Jong Inai, Trek Tek Tek dan Wau Bulan adalah antara lagu rakyat yang cukup popular dan dekat dengan hati masyarakat Melayu dan bumiputera.

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang amat menggamitkan nostalgia. Perkembangan lagu rakyat masyarakat Melayu itu yang telah tersebar luas merentasi samudera dan pelbagai negara yang dipenuhi pelbagai ras dan rumpun adat budaya. Keindahan bahasa kiasannya tinggi agar dunia dapat mengetahui bahawa lagu-lagu rakyat ini mampu menyatupadukan suatu rumpun yang besar di Alam Melayu. Lagu rakyat diangkat dan dinyanyikan dengan alat muzik ukulele cukup indah dan menarik minat masyarakat di Eropah.

Proses pembinaan masyarakat yang menyayangi dan menyanjungi budaya amat penting. Misi pengembaraan selama 74 hari bermula pada 7 Mei 2022 di London hingga 21 Julai depan dari sini ke Istanbul, Turki. Seperti dijadualkan, Faris Noor bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 11.30 malam Sabtu lalu dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, di sini jam 5.50 pagi Ahad waktu tempatan. Pertemuan dengan Aimi, iaitu penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Kent membantu Faris Noor dalam urusan tiket dan dipermudahkan urusannya.

Faris Noor bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Sabtu lalu.

Kesempatan bertemu dengan Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPNM dan dan Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semasa makan tengah hari di Restoran Melur di Paddington menyuntik semangat untuk membuat yang terbaik untuk UPNM dan Malaysia.

Kata-kata semangat digenggam erat oleh Faris Noor yang membawa bahasa Melayu gah di pentas antarabangsa dengan memperkenalkan kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Keluarga Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri. Semaikan semangat patriotisme, iaitu cinta yang kental terhadap negara menuntut tumpuan yang berbeza akibat keadaan dan masa.

“Malaysia sebagai sebuah tanah yang penuh keharmonian dan silang budaya serta rakyatnya saling menghormati di samping kepelbagaian bangsa, agama dan budaya berkenaan menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia”.

(Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.