Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penulis buku dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Azharudin Mohamed Dali menyatakan mitos, mistik dan sejarah termasuk dalam skop kajian beliau dalam penghasilan buku Dunia Haiwan di Alam Melayu: Mitos, Mistik dan Sejarah ketika menjadi pembicara dalam Bicara Buku di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi.
Beliau menyatakan terdapat dua sebab utama yang menjadi penggalak untuk menceburkan diri dalam penerokaan ini iaitu terpengaruh dengan rakannya yang memiliki minat mendalam terhadap buaya; dan kurangnya bilangan ahli sejarah tempatan yang mengkaji bidang haiwan dengan lebih mendalam.
Menurut beliau lagi, sebenarnya masyarakat Melayu terdahulu memiliki ilmu serta kemahiran yang tinggi berkenaan binatang sehinggakan mereka mampu berkomunikasi dan memahami binatang tersebut.
Ilmu orang Melayu terdahulu tentang haiwan cukup luar biasa. Kita ada pawang untuk haiwan tertentu. Ada pawang harimau yang tidak tahu tentang ilmu buaya, ada pawang buaya yang tidak tahu tentang ilmu gajah.
“Namun begitu, tahap kemahiran pawang-pawang ini dalam menguasai sesuatu jenis binatang itu adalah sehingga mampu berkomunikasi dengan binatang tersebut,” jelas beliau.
Walau bagaimanapun, peristiwa berkenaan orang yang mampu berkomunikasi dengan buaya misalnya, sukar untuk dibuktikan kesahihannya memandangkan sejarah konvensional bergantung kepada dokumen.
Oleh sebab itu, beliau menggabungkan ketiga-tiga elemen iaitu mitos, mistik dan sejarah sebagai judul buku tersebut.
Mengulas lebih lanjut berkenaan buku ini, terdapat empat jenis binatang yang dihuraikan secara mitos, mistik dan sejarah masing-masing iaitu harimau, gajah, buaya dan kuda.
Buku ini boleh didapati di reruai DBP bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Program Bicara Buku ini berakhir dengan acara pemberian cenderamata kepada Dr. Azharudin Mohamed Dali oleh Ketua Unit Sains dan Kemanusiaan Bahagian Buku Umum, Encik Armin Azahari Saleh.