22 Jun 2022, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan pendapatan pelancongan sebanyak RM11.1 bilion bagi tahun ini dengan ketibaan sebanyak 4.5 juta orang pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata sasaran tersebut dibuat setelah pembukaan semula aktiviti pelancongan seluruh negara, peningkatan kadar vaksinasi, pembukaan sempadan negara serta pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy ketika melancarkan TRF 2.0.
Sumber: Facebook MOTAC.

Pada 21 Jun 2022, telah diadakan buat pertama kalinya sesi Dialog Pelancongan MOTAC 2022 yang juga merupakan salah satu mekanisme ke arah menjayakan pelaksanaan Dasar Pelancongan Negara 2020 – 2030.

Sesi yang dipengerusikan oleh Menteri MOTAC merupakan platform perkongsian mengenai dasar dan hala tuju MOTAC selain untuk mendengar pandangan dan mendapatkan maklum balas daripada penggiat industri mengenai pembangunan industri pelancongan bagi tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan panjang dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi sektor pelancongan masa kini.

Sesi yang dihadiri 250 orang peserta ini melibatkan penyertaan daripada penggiat industri pelancongan seperti Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA), Malaysia Association of Hotels (MAH), Malaysia Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS), Malaysia Association of Wellness and Spa (MAWSPA) dan Malaysia Association of Amusement Theme Park and Family Atrractions (MATFA).

Dalam majlis tersebut juga, YB Dato’ Sri Hajah Nancy turut melancarkan TRF 2.0 yang merupakan kesinambungan daripada Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP 1.0). TRF 2.0 telah ditambah baik oleh MOTAC bersama-sama penggiat industri melalui Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan mengambil kira isu dan cadangan yang telah dikemukakan oleh penggiat industri melalui memorandum tersebut.

“Diharapkan TRF 2.0 ini dapat memacu semula sektor pelancongan agar kembali pulih. Kerjasama erat antara para penggiat industri, komuniti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan amat penting demi mencapai matlamat dan menangani kesan buruk COVID-19 bagi mewujudkan serta meningkatkan industri pelancongan yang berdaya maju dan berdaya tahan,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.