Oleh Syaza Wardina
7 Julai 2022, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, pada 7 Julai 2022, buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang dilancarkan oleh Sasterawan Negara, YBhg. Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Buku yang memuatkan buah fikiran budayawan, cendekiawan dan penggiat seni budaya tanah air tersebut merupakan karya terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta merupakan kerjasama sulung kedua-dua agensi dalam bidang penerbitan.

Tuan Haji Mesran Mohd Yusop.

Menerusi ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop berkata, “Kerjasama ini memberikan satu nilai tambah terhadap hasil penerbitan JKKN, apatah lagi penerbitan ini melibatkan bahan-bahan rujukan daripada ahli panel yang hebat dan telah didokumenkan menjadi bahan bertulis untuk rujukan masyarakat khususnya para pencinta dan penggiat yang terlibat dalam industri seni kreatif.”

Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Selain itu, Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, penerbitan buku ini selari dengan peranan USIM sebagai pusat pengajian yang menghimpunkan maklumat penting untuk masyarakat. Sinergi USIM dan JKKN memperlihatkan langkah proaktif bagi melengkapkan pelaksanaan program berimpak tinggi juga pada masa yang sama meningkatkan visibiliti USIM kepada masyarakat terutamanya dalam bidang seni budaya.

Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Profesor Datuk Dr. Siti Zainon dalam ucapannya menekankan bahawa penghasilan karya-karya budaya menjadi unsur penting dalam pengembangan ilmu kehidupan insan sejagat. Mendokumentasikan perkongsian kepakaran, pengalaman dan pandangan yang bernas merupakan usaha jitu pentadbir budaya dan seharusnya diperluas. Sumbangan ilmu dan pengalaman yang dipraktikkan oleh mereka telah merancakkan industri seni budaya sejak sekian lama dan hingga kini buah fikiran mereka masih diperlukan dalam aspek pembangunan seni budaya tanah air.

Beliau kemudiannya menyempurnakan Majlis Pelancaran Produk Seni Berbudaya −  Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang melalui gimik penandatanganan buku tersebut dan menyaksikan tayangan multimedia hasil kreatif Pusat Kebudayaan USIM.

Majlis Pelancaran Produk Seni Berbudaya −  Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang.

Penerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang merupakan projek perintis melalui kerjasama strategik antara JKKN dengan USIM dalam usaha menerbitkan bahan-bahan rujukan seni budaya yang berautoriti bersama-sama institusi pengajian tinggi. Inisiatif penerbitan yang mengangkat program bual bicara maya kepada naskhah penulisan ini meliputi topik-topik perbincangan berkaitan dengan perkembangan semasa seni budaya negara dengan menggabungkan konsep ‘3P’, iaitu pentadbir, pengkaji dan penggiat seni budaya tanah air yang dilihat selari dengan fungsi JKKN dalam usaha melaksanakan pembangunan, pendokumentasian dan penerbitan agar dapat disebar luas kepada segenap lapisan masyarakat.

Buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang mengandungi 16 penulisan artikel dengan melibatkan 17 orang penulis yang terdiri daripada ahli panel program Sembang Bukan Gebang (SBG) dan penulis jemputan yang mempunyai kebitaraan dalam bidang seni budaya yang diceburi. Antara penulis yang terlibat dalam penulisan monograf ini ialah Karyawan Seni USIM, Siso Kopratasa, karyawan teater, Dr. Rosminah Mohd Tahir, Profesor Dr. Supyan Hussin, Zulkifli Ab Rashid, Dr. Kamarulzaman Mohamed Karim atau Mantabla, Profesor Madya Dr. Indirawati Zahid, Ismail Ahmed, Cef Fikree Aznan, Dr. Azizah Abdullah, Profesor Madya Dr. Mohd Azam Sulong atau Azam Dungun, Hazelina Ghazaly, Zaiton Hasan, Wanza Mohamad, Muhammad Hasif Idris, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ramlee Wahab dan Ezlina Alias.

Penerbitan Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang dihasilkan daripada program bual bicara SBG yang telah diadakan sebanyak dua musim bermula pada 20 Jun hingga 28 November 2021. Sejumlah 15 episod diterbitkan dengan membicarakan pelbagai topik, iaitu lagu puisi, teater Malaysia, busana Melayu, syair Melayu, muzik tradisional, masakan, terapi seni, pemuzik tradisional, tarian tradisi, Hang Tuah simbolisme kepahlawan Melayu, filem Malaysia, intensiti syiar Islam dan masa hadapan orang seni, manakala satu episod diambil daripada program bual bicara Borak Rakyat yang membincangkan tajuk “Survival Orang Seni”. Kedua-dua program ini dilaksanakan dalam tempoh pandemik COVID-19, bertujuan untuk mendekati tokoh-tokoh, penggiat, pengamal dan pentadbir serta mereka yang pakar dalam ilmu seni budaya secara terbuka sebagai suntikan semangat kepada generasi muda pada zaman yang kian mencabar ini.

Persembahan syair oleh Roslan Madun.

Lebih menarik, buku ini merupakan bual bicara maya pertama yang diangkat menjadi naskhah penulisan. Menampilkan kelainan, buku ini juga memuatkan kod QR pada halaman terakhir setiap tajuk penulisan untuk diimbas oleh pembaca yang ingin menyaksikan bual bicara maya Sembang Bukan Gebang yang disiarkan melalui YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM.

Majlis pelancaran buku tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh penyair unggul tanah air, Roslan Madun dan Kelab Seni Budaya USIM. Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini ialah pengurusan universiti, pengurusan kanan JKKN, ahli panel program SBG, dan barisan karyawan serta penggiat seni tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.