Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya ‒ Jika pada 2 Jun 2022 yang lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan menganjurkan Pertandingan Sahibba bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022, pada kali ini DBK 2022 disemarakkan dengan Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato yang sekali lagi melibatkan penyertaan kakitangan awam KPT dan agensi di bawahnya. Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato ini dijalankan di Dewan Jamuan, Aras 1, KPT, bermula pada pukul 9.30 pagi, 14 Julai 2022.
Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT, YBrs. Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin, Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato bersempena dengan DBK 2022 ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan khasnya di peringkat KPT. Kata beliau, “Hal ini ialah permulaan yang amat bagus untuk mencungkil bakat terpendam yang ada dalam kalangan warga KPT.”
Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat ini dianjurkan bertujuan untuk mengembangkan dan memperkenalkan lagu rakyat atau dengan erti kata lain, lagu yang membawa ciri rakyat yang rata-ratanya mempunyai maksud yang tersirat dengan keindahan pada susunan bahasanya. Pertandingan ini memperlihatkan kesungguhan tujuh orang peserta yang berentap melalui nyanyian lagu rakyat mengikut gaya dan kreativiti masing-masing.
Menerusi sayembara tersebut, Encik Aliff Firdaus Abd Rahman dari Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) berjaya menjuarai Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat melalui alunan merdu Lagu Zaman yang disampaikannya dengan penuh penghayatan.
Sementara itu, Encik Mohd Hanif Khairuddin dari Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memenangi tempat kedua dengan mempertaruhkan nyanyian lagu Tak Seindah Wajah, manakala Puan Muhamusyarrifa Hashim dari Bahagian Standard Swasta, JPT di tempat ketiga dengan nyanyian lagu Laksamana Raja di Laut.
Sayembara Pidato pula menyaksikan pertarungan hebat dalam kalangan lima orang peserta yang menyampaikan ucapan dengan idea dan hujah yang bernas berdasarkan tema, “Bahasa Melayu di Persada Dunia”.
Dalam sayembara tersebut, Encik Muhammad Syazwan Sulaiman dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar berjaya memperoleh tempat pertama, manakala Encik Muhammad Jihadullah Othman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di tempat kedua, dan Puan Anis Akmal Shabudin dari Bahagian Biasiswa memperoleh tempat ketiga.
Setiap pemenang bakal menerima hadiah utama berupa wang tunai dan hadiah iringan daripada DBP dan KPT.
Menerusi program tersebut, Encik Roslan Madun berkesempatan mendendangkan beberapa buah lagu rakyat bagi menghiburkan para peserta dan tetamu yang hadir. Selain YBrs. Dr. Aini Andria Shirin, turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, DBP.