22 Julai 2022, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali menyemarakkan “Kempen Budi Bahasa Budaya Kita” selaras dengan matlamat utama Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang bertunjangkan “Negara Maju, Rakyat Berbudaya”. Majlis pelancaran “Kempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita” yang berlangsung pada 21 Julai 2022 di Kompleks Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri.

“Kempen Budi Bahasa Budaya Kita” buat pertama kalinya dilancarkan pada tahun 2005 yang seterusnya berjaya menggerakkan kempen tersebut sehingga ke peringkat akar umbi dengan matlamat pada ketika itu adalah untuk menyuburkan penghayatan dan pengamalan budaya nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia selain menjadi asas ke arah pembentukan jati diri masyarakat Malaysia yang jitu secara keseluruhan.

Menteri MOTAC, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sebanyak 28 program yang berorientasikan amalan budaya nilai tinggi dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah MOTAC melalui “Kempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita”. Daripada 28 program tersebut, sebahagiannya telah dilaksanakan dan selebihnya bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai usaha bagi menyemarakkan kempen ini.

Pelancaran “Kempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita” ini diharapkan dapat merangsang semula tahap penghayatan dan penerapan amalan budi bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada dalam bentuk komunikasi, pengucapan, pertuturan, panggilan atau dalam perlakuan serta pergaulan. Kesemua elemen tersebut harus dipraktikkan dalam semua institusi yang digariskan dalam DAKEN, iaitu institusi kekeluargaan, pendidikan, perkhidmatan mahupun kemasyarakatan.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, pelancaran semarak kempen budi bahasa ini akan dapat membangkitkan semula semangat anak bangsa terhadap penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia. Semoga usaha ini dapat meningkatkan lagi semangat untuk kita berbudi bahasa tidak kira walau di mana-mana sahaja kita berada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.