4 Ogos 2022, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sandakan – Tourism Malaysia melancarkan risalah pelancongan bertemakan gastronomi yang dinamakan sebagai Sabah & Labuan ‘SeeEatFood’ Trail Fun Map. Risalah tersebut menyenaraikan restoran-restoran makanan laut di Sabah serta produk-produk pelancongan utama di sekitar Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Inisiatif ini merupakan satu daripada usaha pihak Tourism Malaysia untuk menarik pelancong mengunjungi negeri Sabah dan Labuan yang sememangnya terkenal sebagai syurga makanan laut kerana kedudukan geografinya yang strategik dikelilingi oleh Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu. Kedudukan geografi tersebut sekali gus memberi kelebihan dari segi penangkapan serta penjualan hasil laut segar pada harga yang lebih murah berbanding tempat yang lain.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Ednie Rahma Ab. Rahim ketika majlis pelancaran risalah.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Ednie Rahma Ab. Rahim berkata, pelancongan gastronomi merupakan satu daripada komponen utama dalam sektor pelancongan domestik yang wajar diberi fokus di Sabah setanding dengan kekayaan warisan budayanya selain produk-produk ekopelancongan.

“Penerbitan risalah ini diharap dapat menjadi rujukan kepada para pelancong yang berkunjung ke Sabah dan Labuan serta memudahkan mereka membuat pilihan untuk menikmati sajian makanan laut di restoran-restoran yang tersenarai,” ujar Cik Ednie Rahma Ab. Rahim.

Menurut Cik Ednie Rahma Ab. Rahim, pengguna telefon pintar hanya perlu mengimbas kod QR bagi mendapatkan risalah ini secara digital melalui laman sesawang Tourism Malaysia, www.malaysia.travel, media sosial rasmi Facebook Tourism Malaysia atau di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Risalah Sabah & Labuan ‘SeeEatFood’ Trail Fun Map.

Majlis pelancaran risalah Sabah & Labuan ‘SeeEatFood’ Trail Fun Map yang berlangsung pada 3 Ogos diadakan bersempena lawatan suai kenal (FAM Trip) selama empat hari tiga malam ke Sandakan bermula pada 31 Julai lalu. Lawatan ini disertai 26 peserta yang terdiri daripada 12 wakil media, lima agensi pelancongan dari Persatuan Pelancongan Sabah dan para pegawai dari Tourism Malaysia, Malaysia Airlines dan MASwings.

Dalam lawatan tersebut, para peserta dibawa menjejaki Sandakan Heritage Trail serta menerokai pelbagai produk pelancongan terkenal di sekitar Sandakan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Rainforest Discovery Centre, Bornean Sun Bear Conservation Centre dan Sungai Kinabatangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.