10 Ogos 2022, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyanyi dan pemuzik sape, Alena Murang melancarkan video muzik berjudul Put Burui bersempena dengan sambutan Hari Orang Asal Sedunia.

Video muzik Alena Murang memaparkan jalinan kuat antara muzik, seni Orang Ulu, hutan belantara dan jaringan sungai. Video muzik tersebut dirakamkan di Semadang, Sarawak hasil cetusan ilham daripada warisan ilmu yang diturunkan oleh nenek moyang suku kaum Dayak Kelabit.

Put Burui adalah sebuah filem pendek dan video muzik yang dihasilkan berdasarkan lagu tradisional kaum Kenyah yang mengiringi tarian kenyalang dipersembahkan oleh kaum wanita. Meskipun tarian tersebut merupakan aspek utama dalam video muzik tersebut, tetapi Kirip (gubahan bulu burung enggang) yang lazim digunakan sebelum ini digantikan dengan gubahan daun paku pakis bagi membangkitkan kesedaran tentang pemeliharaan alam semula jadi.

Menurut Alena Murang, warisan alam semula jadi harus dipertahankan sebagai khazanah yang tidak ternilai.

Sebagai usaha untuk melestarikan penjagaan alam semula jadi, Alena Murang turut menggayakan busana yang diperbuat daripada serat asli dalam video klip muzik tersebut, terutamanya baju yang diperbuat daripada Pua Kumbu berwarna merah (fabrik tenunan tangan suku Iban daripada serat dan pewarna semula jadi) rekaan pereka fesyen ternama kelahiran Sarawak, Edric Ong dan baju sulaman tangan berona perang muda menggunakan teknik songket Sarawak oleh para artisan Tanoti. Pakaian penari latar juga dihasilkan dengan seratus peratus daripada serat tumbuhan.

Selain itu, Alena Murang turut mengenakan perhiasan yang diperbuat daripada biji-bijian dan kulit cangkerang ciptaan pereka Edric Ong, Nasha Prive dan penggubah aksesori orang asli Temuan, Leny Maknoh. Setiap butiran perhiasan disusun oleh pakar gaya dan pengasas Hellostylar, Saerah Ridzuan.

Menurut Saerah Ridzuan, gaya yang diketengahkan dalam video muzik Put Burui diinspirasikan daripada keunikan alam semula jadi. Warna tanah menjadi tema warna dalam video muzik tersebut yang boleh dilihat pada sarang buatan manusia, batuan bertekstur dan pasiran sungai.

“Aksesori yang menghiasi Alena Murang dan para penari diperbuat daripada bahan organik dan asli seperti buah jelai, batang bemban, serat daun dan kulit kayu. Beliau juga mengenakan busana berwarna putih sebagai simbol kesucian alam semula jadi dan merah yang melambangkan kegagahan serta kekuasaan alam demi kemandiriannya,” jelas Saerah Ridzuan.

Penghasilan video muzik ini dijayakan oleh sepasukan anak muda kelahiran Sarawak, karya Zass Puravida dan Kanid Studio di bawah arahan Daphne Charmain Thian. Menurut Daphne Charmain Thian, beliau mahu memaparkan kekayaan alam semula jadi seperti yang biasa dilihat dalam dokumentari. Bahkan, manusia merupakan saksi keajaiban alam yang mampu wujud tanpa sebarang bantuan manusia. Alam tidak memerlukan manusia sebagaimana manusia amat bergantung kepadanya.

Alena Murang tidak pernah jemu mempertahankan dan memperkenalkan warisan suku kaumnya menerusi seni dan muzik sape.

Alena Murang pula berkata, penyediaan peluang dan ruang untuk berkarya kepada para belia amat penting. Pandangan beliau ini disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang merupakan antara penaja untuk penghasilan video muzik tersebut.

Dalam sidang media pelancaran video muzik Put Burui, Alena Murang menjelaskan bahawa Orang Asal di seluruh dunia masih mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan alam semula jadi.

Jelas Alena Murang lagi, beliau bukan hanya mewarisi seni, muzik dan bahasa suku kaum Dayak Kelabit, tetapi juga warisan alam semula jadi yang harus dipertahankan sebagai khazanah yang tidak ternilai.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Alena Murang adalah Sky Songs yang digubah oleh Joshua Maran dan diperindah dengan tiupan seruling Niko Coyez serta petikan sape Alena Murang.

Selaras dengan tema memperjuangkan alam sekitar, Alena Murang bekerjasama dengan Bogus Merchandise untuk menghasilkan kemeja-T cetakan saring sutera menggunakan kemeja-T terpakai yang dipilih dengan teliti oleh beliau sebagai produk jualan bersempena dengan pelancaran video muzik Put Burui. Produk Put Burui kini boleh ditempah melalui laman sesawang Bogus Merchandise (www.bogusmerchandise.com)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.