Oleh Mubarak Ismail
14 Ogos 2022, 08:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) pada hari ini mengadakan Peragaan Fesyen Batik Malaysia sempena kempen “Ini Batik Malaysia” di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. Peragaan fesyen ini dihadiri Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Santhara J.P, Timbalan Menteri MOTAC.

Kempen “Ini Batik Malaysia” yang bermula pada 1 Julai 2022 adalah inisiatif PKKM dalam memartabatkan industri kraf batik tempatan. Hal ini adalah kesinambungan daripada pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember 2021 dan sambutan Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada 3 Disember setiap tahun. Objektif kempen ini untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai batik Malaysia serta menggalakkan pemakaian batik Malaysia.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kempen ini berlangsung adalah Peragaan Fesyen Batik Malaysia yang mengetengahkan batik alternatif yang menggunakan teknik halangan warna ke atas fabrik seperti batik cetakan kreatif (Ecoprint), batik clay dan batik linut. Batik alternatif bertepatan dengan konsep agropelancongan kerana penghasilannya yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan tanah. Selain itu, turut diperagakan juga adalah batik terap (Blok) dan batik lukis (Canting) yang bermotifkan kepelbagaian identiti seni dan budaya masyarakat Malaysia.

Antara 48 busana batik Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis koleksi batik.

Batik cetakan kreatif (Ecoprint) merupakan salah satu cara penghasilan reka corak secara semula jadi daripada daun dan bunga yang menggunakan teknik gulungan atau ketukan supaya warna dan kesan yang terhasil diserap pada permukaan kain. Manakala batik clay (tanah liat) dan batik linut (kanji sagu) adalah hasil projek kajian inovasi menggunakan bahan semula jadi sebagai bahan penghalang warna dalam penghasilan reka corak batik. Inovasi penggunaan tanah liat dan kanji sagu yang mesra alam merupakan bahan alternatif pengganti lilin batik sedia ada.

Di samping itu, batik terap (Blok) atau batik cop adalah teknik aplikasi lilin batik menggunakan blok atau sarang batik bagi menerap, mengecap dan mencetak reka corak mengikut susunan ke atas permukaan fabrik. Penghasilan batik lukis (Canting) pula adalah teknik aplikasi lilin batik menggunakan alat canting bagi melukis reka corak ke atas permukaan fabrik.

Peragaan Fesyen Batik Malaysia pada hari ini menampilkan sebanyak 48 pasang pakaian batik Malaysia yang terdiri daripada koleksi batik cetakan kreatif (ecoprint), batik clay, batik linut, batik terap dan batik lukis. Koleksi-koleksi ini diperagakan dengan rekaan pakaian batik yang memenuhi cita rasa fesyen terkini. Peragaan fesyen diadakan sebanyak dua sesi, iaitu sesi pertama pada pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang dan sesi kedua pula pada pukul 3.00 petang hingga 4.00 petang. Pengunjung yang berminat membeli pakaian dan produk batik boleh berkunjung ke reruai Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd (KARYANEKA), iaitu anak syarikat PKKM terletak di Pavillion Agrotourism Dewan C dan Dewan D serta melalui usahawan kraf yang berada di pavilion negeri.

Selain itu, produk kraf batik Malaysia juga boleh dibeli melalui platform pemasaran digital MYCRAFTSHOPPE, Facebook E-Kraf Bazar dan portal KARYANEKA, iaitu www.karyaneka.com.my. Inisiatif ini membuka peluang kepada usahawan dan komuniti kraf untuk mempromosi dan memasarkan hasil produk kraf mereka dengan lebih mudah. PKKM sentiasa mempergiat usaha untuk membantu usahawan dan komuniti kraf dalam meningkat pengeluaran serta memperluaskan pasaran produk kraf tempatan secara lebih efektif mengikut arus perdana.

Semoga kempen “Ini Batik Malaysia” dapat memberi kesedaran, pengetahuan dan menyemai jati diri identiti Keluarga Malaysia menerusi pemakaian batik Malaysia. Seterusnya usaha ini mampu melonjakkan permintaan terhadap produk kraf batik negara sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan dan komuniti kraf.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.