18 Ogos 2022, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi mendidik, menerapkan elemen patriotisme dan sejarah kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia, Kelab Teater Anak Seni Ahmad Rashidi (ASAR) Negeri Sembilan diberi kepercayaan untuk mementaskan teater bertajuk Tanjong di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bakal dipentaskan pada 9 hingga 11 September 2022, teater Tanjong dibintangi oleh para pelakon handalan seperti Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Dato’ Perdano Andika, kartunis Ujang dan legenda penyanyi rakyat Negeri Sembilan, Ulong Bakar.

Teater Tanjong merupakan karya sulung arahan Profesor Dr. Ahmad Rashidi Hasan. Sebagai sutradara dan tulang belakang teater Tanjong, beliau berharap agar naskhah ini mampu memberi gambaran sebenar tentang sejarah budaya adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.

Profesor Dr. Ahmad Rashidi Hasan.

Selain dapat memartabatkan seni teater yang semakin terpinggir, teater juga boleh menjadi platform terbaik buat komuniti anak-anak ASAR dan remaja untuk melakukan aktiviti yang berfaedah.

“Objektif dan matlamat pementasan teater ini untuk memberikan wadah buat anak muda dan kanak-kanak khususnya komuniti ASAR untuk melakukan aktiviti bermanfaat, menyemai minat melakukan aktiviti kesenian, membentuk keyakinan diri selain menonjolkan adat Perpatih kepada masyarakat umum. Sebahagian keuntungan daripada jualan tiket teater ini akan disalurkan kepada tabung pendidikan anak-anak ASAR dan individu yang memerlukan,” ujar Profesor Madya Dr. Ahmad Rashidi Hasan.

Teater Tanjong mengisahkan krisis yang dilalui apabila Bugis dan Belanda menyerang Johor sehingga mengakibatkan Dato’ Penghulu Luak Tanjong, Tok Nagho terpaksa berlayar ke Minangkabau untuk memohon perlindungan daripada Kesultanan Pagaruyung. Sewaktu ketiadaannya di Johor, Tok Nagho melantik anaknya, Baroq memegang tampuk kepimpinan sebagai penghulu dan meminta Anjang, rakan karib Baroq dan bakal menantunya untuk menjaga perilaku ketika bersama dengan anak perempuannya, Tanjong.

Walau bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan ke Minangkabau, Tok Nagho menghembuskan nafasnya yang terakhir dan sekali gus menyebabkan kekosongan tampuk pemerintahan. Berdasarkan adat Perpatih, tampuk pemerintahan seterusnya perlu diserahkan kepada Tok Pedano, namun Baroq tidak mahu akur dengan aturan adat Perpatih dan mahu terus memegang kuasa pemerintahan. Krisis perebutan tampuk kepimpinan ini mengakibatkan perselisihan faham dan pertumpahan darah di Luak Tanjong.

Apakah kesudahannya? Adakah Tok Pedano berjaya memegang tampuk pemerintahan Luak Tanjong atau Baroq berjaya merampas kuasa? Jom bersama-sama kita saksikan teater Tanjong di Istana Budaya pada 9 hingga 11 September 2022.

Mengenai Pementasan Teater Tanjong

Teater Tanjong merupakan sebuah karya teater terbitan Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan. Tiada siapa menyangka, Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan yang pada mulanya hanya sebuah kelab teater kecil di pekan Kuala Pilah dan digerakkan oleh para ibu bapa pelakon dan ahli keluarga yang terlibat dalam pementasan teater bakal mementaskan sebuah teater tentang adat Perpatih di pentas teater berprestij di Malaysia, iaitu Istana Budaya.

Pementasan teater ini melibatkan 150 tenaga kerja yang terdiri daripada pelakon, pemuzik, penari, pesilat, petugas belakang tabir, penata cahaya, pereka kostum, penata rias serta pengurus pentas. Teater ini juga disertai oleh 12 orang siswa dan 28 orang murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pementasan teater Tanjong mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). MOTAC menganugerahkan Geran Padanan Seni dan Budaya bagi menjayakan pementasan teater Tanjong di Istana Budaya kepada Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan. Pementasan teater ini juga mendapat kerjasama dan sokongan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Eddin Syazlee Shith, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Yayasan Budi, Mycreative, Cendana dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.