Oleh Mubarak Ismail
19 Ogos 2022, 21:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli merasmikan Pameran Seni WahLukis @ Blanc di Macalister Mansion, Pulau Pinang. Ketibaan baginda berdua disambut oleh Presiden Soroptimist Antarabangsa Pulau Pinang (SI Penang), Harriet Lim, Jack Wong dan Linn Wong.

SI Penang menganjurkan pameran seni ini untuk mengumpulkan dana buat tabung pendidikan yang berfungsi untuk membantu membiayai kos pendidikan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia dalam menamatkan pendidikan mereka.

Pihak penganjur percaya bahawa dengan pendidikan yang sempurna, setiap pelajar boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya dapat membantu, menjaga serta memajukan keluarga mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Pameran Seni WahLukis @ Blanc.

SI Penang amat menyokong kegiatan seni para artis dan bakat tempatan. Pameran Seni WahLukis @ Blanc bertujuan untuk menonjolkan para artis yang kurang dikenali dan baharu sahaja memulakan kerjaya seni dalam bidang lukisan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang pada tahun 2021. Justeru, pelbagai hasil pameran seni tersebut akan disumbang kepada SI Penang sebagai tanda penghargaan.

SI Penang yang ditubuhkan pada tahun 1921 terdiri daripada kumpulan global yang mempunyai ahli seramai 82 000 wanita dari 126 buah negara yang bekerja untuk mendidik, memperkasakan wanita serta memajukan kehidupan dari segi kewangan dan sosial. SI Penang merupakan satu daripada 16 kelab Soroptimist Antarabangsa yang terdapat di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis pameran seni tersebut ialah Yang Amat Mulia (YAM) Tuanku Sharifah Farah Adriana Jamalullail, YAM Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta Konsul Jeneral Indonesia bagi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Bambang Suharto dan isteri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.