22 Ogos 2022, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran khas “Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No. 1 Asia” yang diadakan dari 12 Ogos hingga 30 September 2022 di Galeri Sudirman, Tingkat 2, pusat membeli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pameran tersebut merupakan pameran terbesar yang pertama tentang penyanyi legenda Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad di Malaysia.

Dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam, pameran anjuran Kamura Trendsetter Park Here dan Sudirman Asset Management dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Fahrenheit88 ini mempamerkan pelbagai koleksi asli Dato’ Sudirman Haji Arshad daripada ANM, kecuali baju bendera Malaysia terpanjang yang hanya sebagai replika untuk tontonan pengunjung.

Baju asal bendera tersebut berukuran 120 meter panjang dipakai oleh Dato’ Sudirman semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Koleksi kasut dan tanjak Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

Antara barang menarik yang dipamerkan termasuklah basikal tua yang digunakan oleh Dato’ Sudirman semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarhamah Yusni Jaafar, 153 buah lukisan animasi Dato’ Sudirman yang disiarkan dalam media cetak dan media massa terbitan Kumpulan Media Karangkraf, baju Melayu songket yang digayakan oleh Dato’ Sudirman semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991, dan koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh beliau semasa membuat persembahan.

Sebahagian daripada piring hitam lagu-lagu Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

Selain itu, terdapat trofi Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangan Dato’ Sudirman dalam industri muzik tanah air, koleksi songkok dan kain untuk persembahan, koleksi kaset dan piring hitam lagu-lagu Dato’ Sudirman, koleksi kasut, tanjak, keratan akhbar dan majalah, serta poster biografi dan pengiktirafan sebagai penghibur terbaik Asia.

Di samping itu, pakaian-pakaian yang pernah pakai dipakai oleh Dato’ Sudirman semasa membuat persembahan-persembahan turut dipamerkan dalam pameran ini berikutan nama beliau yang terkenal sebagai ikon patriotik negara dan ikon fesyen Malaysia pada era itu.

Perasmian pameran khas “Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia” disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota Pahang, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir ialah kakak dan anak saudara Allahyarham Dato’ Sudirman, iaitu Datin Rodziah Arshad dan Razman Azrai Dato’ Zainudin (Atai).

Selain menurunkan tandatangan sebagai tanda minat dan kehadiran, para pengunjung pameran juga boleh membeli pelbagai cenderamata yang dihasilkan oleh Kamura Trendsetter Park Here.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.