22 Ogos 2022, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simunjan – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui program Studio Kraf Kreatif, Pusat Kecemerlangan Kraf di Institut Kraf Negara (IKN) memilih dua buah sekolah di daerah Simunjan, Sarawak untuk dijadikan sebagai projek perintis bagi aktiviti mewarna batik canting sebagai usaha memupuk minat kanak-kanak agar mencintai seni kraf.

Menteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, dua buah sekolah yang dipilih sebagai projek perintis bagi aktiviti mewarna batik canting dalam program ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Simunjan dan Sekolah Kebangsaan Abang Man, Simunjan.

Tambah beliau lagi, sebagai permulaan, pihak MOTAC telah menyumbang kit mewarna batik canting kepada 200 orang pelajar di kedua-dua sekolah tersebut.

Menteri MOTAC, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyerahkan kit mewarna batik kepada wakil penerima.

“Pemberian kit mewarna batik canting ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan teknik, bahan dan proses asas dalam penghasilan produk kraf tempatan pada peringkat akar umbi khususnya kepada pelajar sekolah rendah dan menengah,” ujar YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Semoga dengan pemberian kit ini, para pelajar akan lebih mencintai produk kraf Malaysia dan seterusnya bakal menjadi pelapis dalam pembangunan industri kraf pada masa depan.

Dalam majlis yang sama, seramai 26 orang wakil usahawan daripada 1097 perusahaan layak menerima insentif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Industri Kraf hadir menerima bantuan berjumlah RM1500. Insentif tersebut bertujuan untuk membantu memulihkan perniagaan para usahawan kraf bagi merancakkan semula industri kraf negara yang terjejas akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Insentif Pemulih Industri Kraf yang mula diberikan sejak bulan April 2022 dijangka memanfaatkan sejumlah 6000 orang usahawan kraf di seluruh negara.

MOTAC berharap dengan inisiatif dan insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi komuniti kraf tempatan yang seterusnya membantu memperkasa ekosistem industri pelancongan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.