31 Ogos 2022, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Sepanjang bulan Ogos dan September 2022, Keluarga Malaysia berpeluang untuk mengetahui dan mendekati dengan lebih dekat sejarah peristiwa kemerdekaan negara melalui pameran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di tiga lokasi yang berbeza, iaitu di lobi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Paradigm Mall, Petaling Jaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pihak MOTAC mempamerkan koleksi khas dan unik Bapa Kemerdekaan Malaysia, iaitu Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di lobi ibu pejabat mereka. Antara koleksi khas yang dipamerkan adalah meja yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman sewaktu menandatangani perjanjian, koleksi peribadi kemeja batik dan kasut beliau serta pelbagai koleksi lain lagi.

Selain itu, Paradigm Mall, Petaling Jaya dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) turut menganjurkan Pameran Tunku Abdul Rahman, iaitu Pop Up Memoriam Tunku Abdul Rahman Putra. Pameran tersebut yang mempamerkan lebih daripada 59 barangan atau artifak kepunyaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diadakan di Aras G, (Lot GF-33) pusat beli-belah tersebut. Pameran tersebut diadakan bersempena dua tarikh bersejarah negara kita, iaitu Hari Kemerdekaan Malaysia dan Pengisytiharan Malaysia yang berlangsung selama dua bulan, iaitu dari 13 Ogos 2022 hingga 30 September 2022.

Antara koleksi barangan Bapa Kemerdekaan yang dipamerkan di Pop Up Memoriam Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Paradigm Mall, Petaling Jaya.

Antara koleksi yang dipamerkan dalam pameran ini termasuklah kereta kesukaan Tunku Abdul Rahman, koleksi pen Parker yang digunakan untuk menandatangani dokumen rasmi kerajaan, meja belajar, koleksi wang kertas dan duit syiling zaman dahulu, pakaian Tunku Abdul Rahman yang digunakan sewaktu kembali dari London untuk pengisytiharan Merdeka, watikah, surat, manuskrip dan lain-lain lagi.

Yang lebih menarik, video hitam putih Tunku Abdul Rahman dan gambar-gambar lama beliau juga dapat ditonton oleh para pengunjung pameran ini. Pada 23 Ogos yang lalu, cucu kandung Tunku Abdul Rahman, Yang Mulia Tunku Muinuddin Putra hadir merasmikan Pop Up Memoriam Tunku Abdul Rahman Putra.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, KLIA juga menganjurkan satu pameran khas berkaitan kisah kehidupan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pameran eksklusif tersebut yang bertemakan “The Life of Malaysia’s First Prime Minister” diadakan di Kawasan Pentas, Aras 5, Bangunan Terminal Utama KLIA dan terbuka kepada umum. Pameran tersebut berlangsung dari 23 Ogos 2022 hingga 18 September 2022 dan bayaran masuk adalah secara percuma.

Peti-peti besi milik Tunku Abdul Rahman yang dipamerkan di KLIA.

Keluarga Malaysia berpeluang melihat barang peribadi daripada peti keselamatan milik Tunku Abdul Rahman yang tidak pernah dipaparkan kepada orang ramai sebelum ini. Pameran tersebut juga mampu membangkitkan perasaan nostalgia kepada para pengunjung dengan menghidupkan semula gambaran pejabat dan bilik mesyuarat Kabinet Malaysia pada zaman Tunku Abdul Rahman. Para pengunjung pameran juga berpeluang untuk bergambar di ruangan tersebut. Keluarga Malaysia juga berpeluang menikmati dua makanan kegemaran Bapa Kemerdekaan Malaysia, iaitu kari ayam dan ayam kurma di Food Garden, KLIA.

Pameran-pameran ini diadakan bagi memperingati jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam mencapai kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di samping untuk mendidik Keluarga Malaysia, terutamanya generasi muda mengenai sejarah Malaysia serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.