4 September 2022, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Syarikat pengeluar batik tempatan, Raifili menyediakan satu juta batik percuma kepada para penjawat awam di negara ini menerusi kempen “1 Juta Batik Percuma buat Penjawat Awam”. Kempen tersebut bermula dari bulan Mac dan dilancarkan secara rasmi pada 2 September 2022 serta boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook, Raifili World.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, usaha berkenaan dapat menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam di samping menggayakan keunikan dan keindahan batik dalam kehidupan seharian yang bukannya terhad sebagai pakaian rasmi kerja dan untuk majlis kerajaan sahaja.

“Permintaan batik amat tinggi dalam kalangan penjawat awam kerana penjawat awam diwajibkan memakai batik pada setiap hari Khamis bagi tujuan memartabatkan pemakaian batik Malaysia,” ujar Tan Sri Mohd Zuki Ali sewaktu melancarkan kempen tersebut bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah.

Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Siti Fitriyah Harun bergambar selepas majlis pelancaran kempen.

Tambah beliau lagi, ketua-ketua jabatan juga boleh menguar-uarkan kempen yang dilaksanakan oleh Raifili dalam usaha mempromosi dan menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat, khususnya penjawat awam negara ini.

Pengasas Raifili, Siti Fitriyah Harun pula berkata, menerusi kempen berkenaan, syarikatnya menyokong hasrat dan usaha Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah mengisytiharkan 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bagi menggalakkan Keluarga Malaysia memakai pakaian berteraskan batik Malaysia.

“Pihak Raifili ingin berkongsi kegembiraan dengan para penjawat awam dan berharap agar kempen ini dapat menjadikan Batik Eksklusif Raifili yang bermotifkan batik moden Malaysia sebagai pilihan utama fesyen penjawat awam. Di samping itu, sebanyak 1000 helai batik ditawarkan oleh pihak Raifili untuk ditebus oleh penjawat awam yang mengunjungi Jelajah AKM Negeri Kedah” jelas Siti Fitriyah Harun.

Menurut Siti Fitriyah Harun, lebih 300 ribu penjawat awam di negara ini telah menebus batik percuma sejak pelancaran kempen ini secara dalaman pada Mac lalu. Selain itu, pihaknya turut menerima maklum balas yang baik dan memberangsangkan daripada penjawat awam yang memuji material kain batik eksklusif yang dihasilkan oleh Raifili berkualiti tinggi, lembut, cantik, selesa dipakai, warna tidak luntur, tidak mudah kecut dan mudah digosok.

Para penjawat awam di negara ini boleh menebus kain batik percuma yang berbaki hampir 700 ribu helai lagi melalui pautan https://1jutabatikpercuma.raifili.com/ atau menghubungi pengedar sah Raifili di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.