Oleh Mubarak Ismail
5 September 2022, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Majlis Pelancaran Promosi Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 peringkat Borneo dengan tema “The Thrill of Northern Trails” yang diadakan di Pejabat Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn. Bhd. di Chong Lin Park, Kuching dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Acara larian ini menyasarkan seramai 800 orang peserta yang akan melalui Banjaran Nakawan sepanjang 38 km melalui Taman Negara Negeri Perlis. Di samping itu, para peserta akan melalui laluan kawasan ekopelancongan menarik di sekitar Sungai Batu Pahat, kawasan dusun buah-buahan, sawah padi, sungai Lencongan Barat, kampung tradisi dan kawasan hutan simpan. Acara tersebut dianjurkan oleh MEP Ventures (MEP21) Sdn. Bhd. dan Kelab Pelari Denai Putera dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan Tourism Malaysia.

Ketibaan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif  SLT Sdn. Bhd., Datuk Nellsen Young dan Ketua Pegawai Eksekutif MEP Ventures Sdn. Bhd., Ku Hasrin Ku Abdul Rahman.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 peringkat Borneo.

Antara objektif acara Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 termasuklah membangunkan semula Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan sukan, merangsang ekonomi domestik serta mempromosi dan memperkenalkan acara pelancongan dan tempat-tempat menarik di negeri Perlis.

“Acara Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 yang melibatkan kategori 50 km, 25 km dan 10 km akan diadakan pada 9 dan 10 Disember 2022 di Kompleks Eko Pelancongan, Sungai Batu Pahat, Perlis. Manakala kategori “Super Senior” terbuka kepada peserta yang berusia 50 tahun dan ke atas serta kategori “Junior Khas” bagi peserta berusia 12 sehingga 17 tahun turut diperkenalkan buat pertama kali,” ujar Datuk Nellsen Young.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pelancongan Negeri Perlis, Asmaiza Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Ts. Kamel Mohamad dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar.

Yuran pendaftaran “Early Bird” yang akan tamat pada 22 September ini berharga RM70 untuk kategori 10 km (junior), RM80 untuk 10 km (dewasa), RM130 untuk 25 km dan RM195 untuk 50 km.

Manakala tiket dengan kadar biasa boleh dibeli bermula 23 September hingga 17 Oktober dengan harga RM80 untuk kategori 10 km (junior), RM95 untuk 10 km (dewasa), RM145 untuk 25 km dan RM235 untuk 50 km.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran dalam talian, sila layari www.nakawanultra.com.

Bagi peserta dari Borneo (Sarawak Sabah/Brunei/Kalimantan), sila hubungi Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd. pada talian 016-8930309/017-9050309/082- 422282, atau e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.