6 September 2022, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Selepas menjayakan program Kayuhan Santai berbasikal di sekitar kawasan Petra Jaya dan Majlis Santapan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis telah berkenan berangkat untuk melawat Borneo Cultures Museum (BCM) yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching pada 3 September 2022.

Dalam lawatan tersebut, DYTM Tuanku dibawa ke bangunan BCM yang dibina lima tingkat dengan bercirikan binaan serba moden yang memaparkan reka bentuk seni bina yang tersendiri serta ruang pameran interaktif berkeluasan 6000 meter persegi. Ruang ini memaparkan keunikan kraf tradisional dan kekayaan warisan budaya masyarakat Sarawak.

Ketibaan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail disambut oleh Puan Anastasia Malan, dari Unit Khidmat Pelanggan, Borneo Cultures Museum.

Perasmian pembukaan muzium terbesar di Malaysia dan muzium kedua terbesar di Asia Tenggara ini disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac 2022 yang sekali gus dibuka kepada kunjungan orang ramai. Muzium ini telah dibina dengan kos sebanyak RM308 juta pada tahun 2015 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019.

Selepas melawat BCM, DYTM Tuanku telah berkenan berangkat untuk melawat Galeri Songket dan Keringkam Sarawak yang terletak di Jalan Masjid, Kuching. Rombongan DYTM Tuanku tiba di galeri berkenaan dengan disambut dan diberikan penerangan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Yang Berbahagia Datu Dr. Sabariah Putit.

Galeri ini telah dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 28 Mac 2022. Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak diterajui oleh Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) bagi membangunkan ekosistem yang bersepadu dan lestari yang turut bertujuan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat selain melindungi, memelihara dan memulihara produk warisan yang bernilai ini.

Yang Berbahagia Datu Dr. Sabariah Putit memberikan penerangan tentang koleksi produk songket dan keringkam Sarawak kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Lebih menarik, produk yang terhasil di sini telah diberi nafas baharu, berinovasi serta mempunyai sentuhan kontemporari seperti kasut, beg kepit, pakaian dan sebagainya. Setakat ini, Sarawak mempunyai kira-kira 120 orang penenun songket dan sebanyak 246 orang pakar penyulam Keringkam.

Pada keesokan paginya, DYTM Tuanku dan rombongan berkenan berangkat ke Kampung Budaya Sarawak (KBS) yang terletak di kaki Gunung Santubong. Muzium hidup yang memenangi anugerah ini mempamerkan tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya dan memaparkan produk seperti pakaian dan kraf tangan, budaya dan rumah tradisional masyarakat etnik utama di Bumi Kenyalang.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail meniti jambatan yang diperbuat daripada buluh.

Selain melawat rumah tradisional masyarakat etnik di sekitar kawasan KBS, DYTM Tuanku juga turut disajikan dengan persembahan kebudayaan oleh artis KBS. KBS juga menjadi tempat utama untuk penganjuran acara yang bertaraf antarabangsa seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia (Rainforest World Music Festival) dan Pesta Menuai Dunia.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil semasa lawatan ke Kampung Budaya Sarawak.

Sebaik-baik sahaja selesai membuat lawatan di KBS, DYTM Tuanku dan rombongan berkenan untuk berangkat balik menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk penerbangan pulang ke Perlis. Keberangkatan tiba DYTM Tuanku dan rombongan ke Bumi Kenyalang selama tiga hari telah menyemarakkan banyak acara yang menarik sekali gus menjadi kenangan yang terindah khususnya bagi pihak kerajaan dan juga rakyat Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.