18 April 2024, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Filem Winnie the Pooh:Blood and Honey 2 (WtPBaH2) diharamkan daripada menemui penonton di Brunei, ekoran pembatalan tayangannya di Hong Kong, China dua tahun lalu.

Berbanding di Brunei dan Hong Kong, WtPBaH2 telah menemui penonton di lebih 90 buah pawagam di seluruh Malaysia sejak 10 April lalu. Walaupun tiada adegannya yang dipotong, WtPBaH2 telah diklasifikasikan sebagai 18+ atas adegan-adegan yang ganas dan seram, menurut Lembaga Penapisan Filem tempatan (LPF).

Kini, WtPBaH2 mencetuskan kontroversi sekali lagi dengan laporan terkini yang mendedahkan bahawa filem tersebut gagal melepasi syarat penapisan filem bagi tayangan di Brunei, lantaran kandungan keganasan, serta seram sepanjang 95 minit durasinya.

Menurut jurucakap pengedar filem Malaysia, perintah larangan itu hanya dikeluarkan beberapa hari sebelum tarikh tayangannya di Malaysia disahkan, iaitu 8 April 2024.

Walaupun tiada adegan yang dipotong, filem ini telah diklasifikasikan 18+ atas adegan-adegan yang ganas dan seram.

Sejak ditayangkan pada tahun lalu, WtPBaH yang berdurasi 84 minit menjadi topik perbualan hangat akibat pengolahan watak yang dianggap merosakkan watak kegemaran kanak-kanak.

Tayangan WtPBaH juga telah dibatalkan pada saat-saat akhir di Hong Kong, yang dikatakan berpunca daripada tekanan politik. Akibatnya, filem ini menjadi topik hangat dalam alam maya. Meskipun menerima sambutan yang menggalakkan dalam alam maya, pengedar filem di Malaysia masih teragak-agak untuk menayangkannya di Malaysia sebelum ini.

Menurut undang-undang hak cipta Amerika Syarikat, semua karya serta harta intelek akan masuk ke dalam ranah awam selepas 95 tahun terbitan pertamanya. Justeru, disebabkan Winnie the Pooh telah diterbitkan secara rasmi buat pertama kali pada tahun 1926, filem tersebut sepatutnya telah dikategorikan ke dalam ranah awam bermula tahun 2022. Ini memberikan kelonggaran kepada orang awam untuk menggunakan watak-watak tersebut bagi penciptaan kedua, atau berkongsi kandungan cerita tanpa izin.

WtPBaH arahan Rhys Frake-Waterfield, dibintangi Chris Cordell, Amber Doig-Thorne, Nikolai Leon, Maria Taylor, Natasha Rose Mills, dan Danielle Ronald, serta Craig David Dowsett sebagai Winnie the Pooh. Daripada kos penerbitan $50,000, filem tersebut berjaya mengutip $5.2 juta.

Masih diarahkan oleh Frake-Waterfield, WtPBaH2 pula menampilkan Scott Chambers, Tallulah Evans, Teresa Banham, Peter DeSouza-Feighoney, Alec Newman, dan Simon Callow, serta Ryan Olivia yang memegang watak Winnie the Pooh.

Setakat tulisan ini ditulis, WtPBaH2  telah mengutip $665,230 hasil tayangan di London bermula 18 Mac 2024, serta Amerika Syarikat dan United Kingdom, sejak 26 Mac lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.