Oleh A.R.Kasa
7 September 2022, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0, permintaan terhadap teknologi terutamanya telefon pintar semakin bertambah. Peningkatan ini dikaitkan dengan populariti media sosial yang semakin mendaki minat dalam hati kalangan masyarakat Malaysia. Variasi kandungan visual dalam media sosial seperti Instagram, Youtube dan TikTok mengubah horizon pemikiran para remaja daripada membaca kepada melayani kandungan-kandungan visual tersebut. Kebebasan bermain gajet menyebabkan remaja banyak menghabiskan masa di depan telefon pintar peribadi. Tidak dapat dinafikan, kandungan visual media sosial yang dicipta oleh para pempengaruh memberikan impak positif terutamanya ketika negara dilanda pandemik seperti sokongan moral, psikologi, psikospiritual, ekonomi, hiburan dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, fenomena ini menyebabkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin menurun. Lebih membimbangkan, kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 72.1 peratus anak muda memilih untuk tidak menyambung belajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sekiranya keadaan ini berterusan, negara akan menghadapi kekurangan pakar yang merencatkan produktiviti industri tertentu dalam 5 hingga 10 tahun akan datang.

Para remaja yang terpengaruh dengan keuntungan sesetengah pempengaruh akan menyuarakan bahawa tanpa pendidikan sekalipun, individu dapat berjaya secara material melalui platform media sosial. Kesinambungan fenomena ini akan mencetuskan lambakan kandungan visual tanpa menepati nilai ilmiah dan tahap kesusilaan yang sesuai dengan adab sopan masyarakat Malaysia. Hal ini dilakukan semata-mata untuk mendapatkan jumlah penonton yang banyak di laman maya dan mengharapkan kandungan visual tersebut menjadi tular. Sehubungan dengan itu, makalah ini mengemukakan langkah-langkah memulihkan dan memperkasakan budaya ilmu terutamanya amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Budaya 3M (membaca, mengira dan menulis) penting bagi mewujudkan bangsa membaca dan mencintai ilmu sejak dari bangku sekolah.

Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Dalam hal ini, perhatian terhadap kebolehan membaca perlu diutamakan kepada murid-murid sejak zaman prasekolah lagi. Budaya 3M (membaca, mengira dan menulis) merupakan senjata ampuh bagi mewujudkan bangsa membaca dan mencintai ilmu sejak dari bangku sekolah. Keciciran murid dalam menguasai ilmu 3M menyebabkan semangat mereka untuk belajar semakin menurun. Mereka bukan sahaja tidak berminat untuk membaca atau belajar, bahkan turut berasa rendah diri kerana gagal menguasai tiga elemen asas tersebut. Hal ini sekali gus menyebabkan mereka berasa tersisih daripada rakan-rakan sekelas serta meragut semangat mereka untuk belajar bersama-sama rakan yang lain.

Faktor persekitaran seperti ini akan menyebabkan murid-murid lebih memilih untuk menggunakan telefon pintar milik ibu bapa atau penjaga untuk mengisi masa lapang kerana pada pandangan mereka, jika membuka buku sekalipun, mereka tidak boleh membaca. Apatah lagi untuk menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru sekolah mereka.

Klimaks fenomena ini berlaku sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 melanda negara. Hal ini kerana para guru tidak dapat memberi perhatian secara holisitik sebagaimana kelas fizikal. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mereka menguasai asas elemen 3M. Dengan penguasaan 3M, anak-anak secara kendiri akan meneroka dunia pembelajaran termasuklah bersaing dengan rakan-rakan sekelas dalam aspek akademik. Hal ini secara tidak langsung membolehkan anak-anak membaca buku-buku yang diminati dan bukan lagi meneliti serta melihat dari sudut ilustrasi semata-mata.

Dengan perkembangan teknologi maklumat, ibu bapa boleh menggunakan beberapa platform media sosial untuk membantu anak-anak menguasai asas 3M. Realitinya bukan semua kandungan media sosial bersifat dewasa, tetapi ada juga yang bermanfaat khususnya bagi pelajar sekolah. Tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah mengawal penggunaan media sosial anak-anak agar digunakan untuk tujuan yang baik. Misalnya, saluran Serasi Muzik di Youtube memuatkan pelbagai kandungan yang dapat membantu anak-anak untuk mengenal huruf, mengeja, membaca dan mengira. Penggunaan kandungan visual seperti ini juga boleh digunakan oleh para guru untuk mengelakkan para murid berasa bosan sambil melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti mengeja sambil menyanyi.

Selain itu, pelajar sekolah menengah perlu didedahkan dengan variasi genre sastera yang menarik. Penulis tidak menafikan bahawa Komponen Sastera (KOMSAS) merupakan inisiatif yang berupaya memupuk semangat membaca. Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa sesetengah prosa memerlukan suntikan orang muda agar seiring dengan perkembangan zaman.

Kandungan cerpen, drama dan novel yang berkisarkan keadaan pada masa silam kurang menarik perhatian para pelajar. Hal ini kerana para pelajar terdedah dengan variasi perkembangan teknologi dan industri. Dengan bercambahnya pelbagai aplikasi dan permainan dalam talian, agak sukar bagi sastera mendapat tempat dalam jiwa remaja sekiranya kita masih berpeluk tubuh dan menggangap orientasi tradisional masih relevan. Justeru, kandungan prosa bukanlah perlu diubah, sebaliknya perlu disemak semula dan disusun mengikut kesesuaian agar mempunyai nilai komersial dan mampu menarik minat para pembaca terutamanya para pelajar.

Pada masa yang sama, tumpuan terhadap mata pelajaran yang dianggap lebih penting seperti Sains dan Matematik menyebabkan perpustakaan sekolah menghadapi kekurangan bahan-bahan sastera. Untuk memupuk semangat membaca dan mencintai warisan bangsa, pihak sekolah perlu memberi perhatian yang sekata dan tidak menganaktirikan keperluan mata pelajaran lain. Pihak sekolah juga boleh melakukan pelbagai inisiatif lain seperti penganjuran aktiviti sastera menerusi pembacaan puisi santai bersama sasterawan negara pada peringkat sekolah. Kolaborasi ini dilihat dapat membeli jiwa dan membentuk budi para pelajar.

Hal ini dikatakan demikian kerana kuasa sastera dapat melahirkan manusia yang budiman, gembira berbuat baik dan takut berbuat jahat. Namun begitu, perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti seperti ini perlu dihiasi dengan nilai-nilai muda dan bersifat semasa. Hal ini penting supaya usaha yang dilakukan dapat membeli jiwa anak muda dan bukan sekadar memenuhi kalendar aktiviti persekolahan.

Platform media sosial menjadi pilihan utama belia berbanding budaya membaca buku.

Di samping itu, peningkatan penggunaan aplikasi TikTok menyebabkan masyarakat lebih tertarik dengan kandungan visual berbanding penulisan kandungan. Hal ini menyebabkan aplikasi media sosial seperti Facebook kurang mendapat tempat dalam hati golongan muda walaupun Facebook menjadi platform kepada para cendekiawan, sasterawan, pensyarah dan ahli politik untuk mengemukakan pendapat tentang sesuatu isu.

Pendapat yang ditulis kebiasaannya dibaca oleh golongan yang lahir sebelum tahun 2000. Hal ini bermakna, sesuatu isu yang diulas oleh para intelektual dan tokoh negara tidak sampai kepada minda anak-anak muda terutamanya yang lahir selepas tahun 2000. Majoriti golongan ini merupakan pengguna media sosial yang lebih tertarik dengan kandungan visual berbentuk video ringkas dalam Instagram dan TikTok.

Para tokoh negara merangkumi bidang agama, sastera, politik mahupun ekonomi dianjurkan untuk mencipta kandungan visual separa ilimiah secara santai atau sepenuhnya ilmiah. Usaha ini dilihat dapat menarik minat para belia untuk menghalusi isu-isu kritikal seputar persoalan sosial dan negara. Gerak kerja ini juga menyuntik semangat anak muda untuk menganalisis pandangan-pandangan tersebut secara kritis. Kesannya, mereka terpaksa kembali membaca dan melakukan sorotan literatur secara kritis untuk menilai respon-respon berbangkit. Hal ini sekali gus mewujudkan budaya berdaya saing dalam keilmuan yang dapat mencetuskan idea-idea baharu untuk menyelesaikan pelbagai masalah pada peringkat domestik dan global. Sememangnya diharapkan agar generasi muda dapat menyumbang idea-idea segar untuk mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat kebelakangan ini.

Usaha memfilemkan perjuangan tokoh pejuang negara seperti Mat Kilau perlu diberi penghargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kandungan filem berunsur patriotisme dapat menyemai perasaan ingin tahu dalam diri remaja. Tambahan pula, sesetengah pandangan mencetuskan konflik dengan mengatakan bahawa filem Mat Kilau hanya rekaan dan tokok tambah sejarah semata-mata. Polemik ini menyebabkan semangat ingin tahu masyarakat khususnya remaja semakin membuak-buak. Kesannya, mereka secara sukarela mengkaji dan menganalisis sejarah melalui pembacaan.

Jika usaha memfilemkan perjuangan tokoh-tokoh pejuang tanah air tidak dapat mewujudkan budaya membaca secara holisitik, namun usaha tersebut sekurang-kurangnya dapat menghiasi jiwa-jiwa anak muda dengan perjuangan dan budaya ilmu yang patut diteladani di samping dapat menonjolkan sumbangan para tokoh yang telah berjasa kepada negara.

Konklusinya, amalan membaca merupakan lambang ketinggian budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Membaca merupakan aktiviti yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, membangkitkan kekuatan memori dan santapan akal yang dapat melatih individu berfikir secara kritis. Melalui pembacaan, penjanaan idea dapat dihasilkan dan berguna untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah memulihkan dan memperkasakan budaya ilmu melalui pembacaan perlu diberi perhatian agar masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja tidak tenggelam dalam arus peredaran zaman sehingga mengabaikan budaya ilmu yang menjadi asas membina tamadun sejahtera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.