Oleh Nisah Haron
12 September 2022, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Ujong – Bertenaga, harmoni dan penuh semangat! Itulah antara tiga elemen penting yang mendefinisikan Kumpulan Pewaris Seni Pentas apabila dinobatkan sebagai Juara Sayembara Randai Malaysia 2022 pada 10 September 2022. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2021 itu terdiri daripada pelajar seni teater dan telah menyapu bersih semua kategori yang dipertandingkan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12 000 dengan mempertaruhkan “Randai Si Ujang”. Selain menjadi juara dengan hadiah RM9000, kumpulan ini turut menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (RM500), Pelakon Wanita Terbaik (RM500), Pendendang Terbaik (RM500) dan Gelombang Terbaik (RM1500).

Menurut Ketua Hakim, Dr. Mohd Effindi Samsuddin dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, persembahan randai amat memerlukan keberanian, ilmu dan kefahaman. Persembahan randai bukan sebuah produksi yang mudah berbanding pementasan teater moden dan bukan sekadar hiburan. Persembahan randai memerlukan banyak tenaga dalam membentuk suatu momentum yang akhirnya bergabung dengan aspek persembahan yang lain seperti muzik, cahaya, nyanyian dan seni lakon.

Randai merupakan dramatari rakyat yang berasal daripada masyarakat Minangkabau yang terdiri daripada gerak tari, nyanyian, muzik instrumental, penceritaan dan lakonan dengan tariannya berdasarkan gerakan pencak silat dan ditarikan dalam bentuk bulatan dengan iringan alat muzik tradisional, iaitu caklempong, rebana, salung dan gong. Hal ini membezakan randai daripada persembahan seni teater moden mahupun teater tradisional seperti bangsawan. Gabungan pelbagai unsur, memerlukan kesatuan dan keharmonian dalam memberikan makna dan mesej yang ingin disampaikan.

Antara babak dalam pementasan teater Sayembara Randai Malaysia 2022.

Seni persembahan randai mendapat tempat di Semenanjung Malaysia sekitar tahun 1930-an. Randai Negeri Sembilan diberikan variasi berbanding Randai Minangkabau dari aspek lagu pembukaan dan dialek yang digunakan. Dalam persembahan Randai Negeri Sembilan, tiga buah lagu bongai dipilih sebagai lagu wajib untuk persembahan Buka Gelanggang, iaitu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek. Dialek Negeri Sembilan yang berbeza bunyinya berbanding dialek Minangkabau, dari segi sebutan dan lenggok juga memberikan pewarnaan tempatan kepada sayembara ini.

Komitmen dan semangat dalam kumpulan yang ditunjukkan oleh naib juara, Kumpulan Cemara Seni yang mempersembahkan “Randai Apak”, mengisahkan perjuangan anak muda dalam melestarikan randai di kampungnya. Manakala Kumpulan Simectra UiTM (cawangan Seremban) pula mempertaruhkan “Randai Somondo”, kisah orang luar Suku Mungkal menyertai suku ibu angkatnya untuk berkahwin dengan wanita tempatan.

Suatu hal yang unik dalam persembahan randai adalah props yang amat minimalis. Anak-anak randai membentuk bulatan yang dipanggil gelombang dan kekal membentuk pergerakan dalam bulatan ini. Ketiadaan set memerlukan koreografer yang kreatif supaya cerita dapat difahami penonton. Kumpulan Pewaris Seni Pentas yang menjuarai sayembara ini mendendangkan lagu-lagu Bongai dan lagu-lagu dalam loghat Negeri Sembilan yang dipopularkan oleh Ally Nor dan Mastura termasuklah Apo Yang Sakit? dan Alahai Anak Omak sebagai mendukung kisah si anak bujang yang teringin untuk beristeri tetapi tiada pekerjaan yang boleh menjamin kehidupan.

Dalam semua persembahan randai, cerita, lagu, tarian dan seni mempertahankan diri digabung serta disulam secara berselang-seli. Kaedah ini tidak membosankan penonton dan meredakan sebarang ketegangan dalam cerita. Para penari dalam bulatan memakai seluar khas, iaitu Seluar Galembong yang boleh mengeluarkan bunyi apabila ditepuk pada kain yang diregangkan dengan kaki. Setiap tepukan memberikan rentak (beat) bagi memandu pergerakan anak-anak randai dalam bulatan.

Randai merupakan sebahagian daripada warisan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia.

Dua orang hakim dalam sayembara ini, iaitu  Mohamad Yusmar Afeendi Yusof, pensyarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA) ASWARA dan Mohamad Arif Taslim (Aloeng Silalahi), seorang aktivis teater diberikan tanggungjawab menilai ketiga-tiga persembahan bersama-sama ketua hakim. Aspek yang diambil kira adalah kejelasan konsep randai, susun atur, kualiti muzikal, gaya unsur nyanyian, garapan, lambang, unsur kekaguman (spectacular), kesegaran dan usaha untuk mengekalkan keaslian diberikan sebanyak 45 markah.

Manakala sebanyak 20 markah diberikan kepada watak dan perwatakan yang jelas, maksud dalam suara dan ruang lakon. Aspek pengarahan, motivasi, komposisi dan kejelasan naskhah serta poetic licence dalam persembahan diberikan sebanyak 15 markah.

“Bunyi dan cahaya akan mendorong kepada suasana cerita (ambience) dalam memberikan fungsi yang amat bermakna. Busana dan solekan pula haruslah membawa pengertian tertentu sesuai dengan konsep yang dibawakan. Daripada tepuk dan lenggok, persembahan berkembang dan dinamiknya memenuhi ruang kreativiti yang kompleks,” kata Dr. Mohd Effindi, Ketua Hakim Sayembara Randai Malaysia 2022.

Sementara itu, Puan Noor Idlah Abdul Halim, Pengarah Program Sayembara Randai Malaysia 2022 yang juga Pengerusi Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (KASET) berkata, “Kami telah menerima maklum balas yang amat positif daripada penonton dan sokongan sebegini memberi semangat kepada kami untuk meneruskan kelangsungan persembahan randai supaya generasi masa depan, khususnya anak-anak Negeri Sembilan boleh berbicara tentang randai dengan rasa bangga.”

KASET yang ditubuhkan pada tahun 2010 telah banyak memenangi pelbagai anugerah dalam festival teater pada peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya termasuklah Johan Festival Teater Malaysia Negeri Sembilan 2015 hingga 2017 dan 2019.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.