Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Drama bergenre seram sudah menjadi kebiasaan buat Azril Suhaili sewaktu beliau mula menulis naskhah drama pentas. “Dahulu saya sebenarnya selalu menulis cerita seram. Genre itu seolah-olah forte saya. Mungkin sebab saya sudah kurang aktif menulis, justeru pementasan kali ini seolah-olah titik kembali saya untuk menulis drama seram,” ujar Azril Suhaili.
Kini Azril Suhaili menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penulis teater Cik Moon Datang setelah karyanya yang bertajuk Jajahan Chow Kit telah dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada November tahun lalu yang merupakan hasil olahan daripada drama Muzikal Sudirmania karya Khairunazwan Rodzy.
Cik Moon Datang mengangkat konsep ruang ambang atau liminal space untuk memainkan peranan watak-watak dalam sebuah produksi teater yang terampuh dengan gangguan halus ketika cuba untuk mementaskan sebuah teater.
Cik Moon Datang merupakan sebuah teater bergenre seram yang mengetengahkan legenda dan misteri Ulek Mayang dalam kegiatan seni pementasan kontemporari, di samping turut memaparkan babak-babak yang mengandungi unsur dan mimik tarian tradisional itu.
Menurut Azril Suhaili, beliau melihat ruang ambang sebagai wadah yang berkesan untuk menyampaikan perasaan dan emosi sebenar kepada para penonton. Selain itu, apabila mengarang karya-karya seram, pendekatan tersebut lebih utama dijadikan sebagai pilihan.
“Ruang liminal dikaitkan dengan ruang yang mengundang perasaan tidak selesa. Maka itu, ketidakselesaan penonton menjadi matlamat saya pada malam ini. Saya mahu state of mind penonton berasa tidak selesa secara emosi,” jelas Azril Suhaili. Selain garapan cerita, turut menjadi fokus adalah tatasinografi yang dipertanggungjawabkan kepada Zaki Hamidun untuk melaksanakan konsep ruang liminal tersebut.
Teater Cik Moon Datang dibarisi oleh para pelakon yang lazim dalam ranah teater kontemporari seperti watak Cik Moon yang merubah nuansa pentas dilakonkan oleh Sara Sulaiman. Manakala Hazirah Norizan pula sebagai Noh, Andika Azhar sebagai Sam, Qie Rahman sebagai Koci, Akmal Sulaiman sebagai Kobis, Rashid Akmal sebagai Que dan Wafiq Qusyairi sebagai Aizat. Antara keistimewaan dalam pementasan teater Cik Moon Datang adalah himpunan warna-warni ragam watak-wataknya.
Kini teater Cik Moon Datang sedang dipentaskan di Revolution Stage, Petaling Jaya di bawah produksi teater Parallact Art. Parallact Art yang merupakan sebuah kolektif seni dengan para ahlinya terdiri daripada bekas-bekas pelakon dan penuntut bengkel lakonan Revolution Stage yang kini kembali mementaskan teater sebuah karya asli di Revolution Stage.
Teater Cik Moon Datang akan dipersembahkan untuk khalayak ramai selama 5 hari, bermula dari 11 hingga 15 Januari 2023. Para peminat dan masyarakat boleh membeli tiket teater menerusi laman Instagram https://www.instagram.com/parallactart/