Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagi penduduk Lembah Klang, sambutan Hari Malaysia seakan-akan tidak sempurna tanpa penganjuran acara “Keretapi Sarong” yang semakin sinonim dengan perayaan pada tanggal 16 September setiap tahun. Keretapi Sarong adalah sebuah acara persembahan berkumpulan (flash mob) yang meraikan kepelbagaian kebudayaan Malaysia dan keharmonian tema budaya yang kontra senegara melalui penghargaan terhadap warisan, fesyen dan ibu kota Kuala Lumpur.
Saban tahun, acara Keretapi Sarong semakin sinonim dengan Hari Malaysia. Apatah lagi setelah menyaksikan ribuan peserta turut serta memakai sarong di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, umur, agama dan bangsa.
Pada penganjuran yang lepas, khususnya acara Keretapi Sarong 2019, terdapat lebih 4000 peserta daripada khalayak awam ikut menyertai memakai sarong dan menaiki tren menuju ke lokasi acara. Namun akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia selama hampir dua tahun, maka kejayaan acara Keretapi Sarong 2019 hanya dapat diteruskan dengan edisi tahun 2022.
Pada tahun ini, acara tersebut memfokuskan untuk memupuk penghargaan terhadap sentimen budaya negara yang kaya serta fesyen yang bertemakan sarong, pelbagai aktiviti kebudayaan akan dilangsungkan, di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat bandar.
Acara Keretapi Sarong mula dianjurkan oleh komuniti Random Alphabet sejak tahun 2012, sebelum dikelolai secara rasmi oleh Local Companian (LOCCO), sebuah komuniti sosial dan budaya sejak tahun 2017. Acara tersebut diadakan pada saban tahun oleh LOCCO sebagai penganjur utama dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Organisasi yang turut bekerjasama dengan LOCCO pada tahun ini adalah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), dengan barisan agensi di bawahnya seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), PRASARANA Berhad, MRT Corporation (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).
Turut menyokong adalah rakan-rakan penganjur strategik, media dan seni seperti AirAsia, Teva, Belhams, Batik Boutique, Fakulti Filem, Teater & Animasi (FITA) UiTM, KL Sketch Nation, Street Meet Malaysia, ATMA (Kumpulan Teater UITM), Kumpulan Dikir Barat DBP, Anomalist Production, Mejabelakang dan BinMansor.
LOCCO menyatakan harapan agar acara Keretapi Sarong ini akan terus kekal menjadi acara tetap komuniti pelbagai kaum di Malaysia sempena meraikan Hari Malaysia selain melestarikan budaya dan busana tradisional seperti sarong.
Melalui kerjasama ini, MOT turut berharap semoga kolaborasi ini akan berterusan pada masa akan datang bagi menggalakkan dan memeriahkan acara Keretapi Sarong di samping orang awam yang bersarong dibawa mendekati perkhidmatan tren awam.
Acara Keretapi Sarong 22 akan membawa kelainan pada tahun ini, dengan mengangkat tema “Retro Kuala Lumpur” dalam pemakaian bertemakan sarong seperti tahun-tahun sebelumnya. Bahkan, buat pertama kali acara Kereta Sarong akan berlangsung secara serentak di Ipoh apabila LOCCO turut bekerjasama dengan Kelab Sosial Ipoh menganjurkan acara #KeretapiSarongIpoh22.
Menyambung tradisi acara namun dengan sedikit penambahbaikan pada tahun ini, acara Keretapi Sarong 22 akan bermula seawal pukul 8.30 pagi pada 16 September 2022 (Jumaat) di tujuh stesen berlainan dalam rangkaian tren awam RapidKL dan ERL. Setiap stesen mewakili satu kumpulan yang diketuai oleh rakan-rakan penganjur bersama yang akan membawa pelbagai pengisian menarik untuk kumpulan masing-masing.
Kemudian setiap kumpulan akan bergerak menuju ke lokasi akhir yang dirahsiakan. Sebuah acara khas Keretapi Sarong 2022 akan dianjurkan di lokasi rahsia tersebut dengan menampilkan persembahan dan pementasan daripada rakan-rakan penganjur bersama yang lain seperti dramatari daripada Anomalist, teater pendek daripada ATMA serta pengumuman pemenang pertandingan sempena Keretapi Sarong 2022.
Senarai stesen permulaan bagi mereka yang berminat untuk turut serta dalam acara Keretapi Sarong pada 16 September ini adalah LRT Subang Jaya, LRT Gombak, LRT Ampang, MRT Bandar Utama, MRT Kajang, KL Sentral, ERL KLIA 2 dan ERL Putrajaya.