15 September 2022, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – 100 orang orang artis pelukis termasuklah pelukis dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) mempamerkan karya masing-masing bersempena dengan Asia Art Show 2022. Menurut Pengasas Asia Art Show 2022, Hazrita Mohd Hatta, pameran ini dianjurkan untuk meningkatkan keupayaan membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Asia Art Show 2022 adalah penambahbaikan pada program yang terdahulu, iaitu Art Market Malaysia. Dengan penambahbaikan dari segi strategi jualan dan konsep, Asia Art Show 2022 dapat membuka peluang kepada semua artis dan jenis atau kategori seni catan, karya kreatif serta seni tampak dipasarkan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan untuk pasaran antarabangsa.

Selain itu, minat atau potensi membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat tempatan masih rendah, begitu juga sokongan daripada sektor korporat. Hal ini boleh dilihat dari sudut kekurangan penajaan untuk program seni catan dan karya kreatif berbanding program hiburan lain serta elemen seni yang lain,” jelas Hazrita.

Hazrita memegang sebuah karya pelukis dari Filipina yang menyertai Asia Art Show 2022.

Menurut Hazrita lagi, 20 lukisan karya pelukis tersohor tanah air seperti Yusof Gajah, Master Roong Huah, Nazli Hamzah, Amy Hashim dan Zunar dipamerkan dalam pameran berkenaan.

“Penganjuran Asia Art Show 2022 ini adalah pelantar terbaik bagi para pelukis generasi baharu untuk berkongsi karya masing-masing bagi meneroka potensi dalam pelbagai aspek, khususnya mengadakan pameran dan menjual karya mereka di luar negara.

Saya ingin melihat mereka pergi lebih jauh dan dapat memasuki pasaran kesenian Eropah yang lebih terbuka dan menghargai karya seni catan dan karya kreatif, khususnya dari negara Asia seperti Malaysia,” tegas Hazrita lagi.

Asia Art Show 2022 mengumpulkan lebih daripada 100 pelukis pelbagai genre dengan tidak menetapkan sebarang tema bagi karya seni yang dipamerkan. Pameran ini berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur bermula dari 17 hingga 18 September ini. Selain artis pelukis tempatan, pelukis dari Indonesia, India, Pakistan, Iran dan Filipina turut menyertai pameran tersebut.

Karya Roslina Abu Bakar yang dipamerkan sempena Asia Art Show 2022.

Bagi pameran yang julung-julung kali diadakan ini, Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong turut mempamerkan karya agungnya daripada koleksi “Busana” dan beberapa koleksi daripada anaknya, seorang artis terkenal tanah air, iaitu Emma Maembong.

Majlis Perasmian dan Makan Malam Amal Asia Art Show 2022 telah berlangsung pada 26 Ogos 2022 di Park Royal Collection, Kuala Lumpur. Asia Art Show 2022 menawarkan pelbagai aktiviti seperti program SENI yang boleh disertai oleh para pengunjung merangkumi aktiviti cabutan bertuah, kuiz seni dan demo lukisan daripada adik-adik OKU. Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Asia Art Show 2022 boleh melayari Facebook dan Instagram, Asia Art Show 2022 atau Whatsapp dan Hotline 016-3980938 untuk keterangan lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.