Oleh Mubarak Ismail
28 September 2022, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Buat julung-julung kalinya, tahun ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu dengan tema “Memperkasa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu” pada 28 hingga 29 September 2022 di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.

Kongres ini diadakan bagi berkongsi ilmu bidang bahasa dan tamadun alam Melayu kepada masyarakat, khususnya generasi muda bersama dengan para tokoh ilmuwan serta berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta dari negara Thailand, Indonesia, Jerman dan Malaysia. Kongres ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Kongres ini merupakan platform perkongsian pintar antara tokoh-tokoh ilmuwan bahasa dengan masyarakat, mengupas dan mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama dalam pembentukan semangat kenegaraan Malaysia merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Selain itu, kongres ini juga dapat menaikkan semangat dan menanam iltizam yang tinggi dalam kalangan peserta tentang potensi, peranan dan kepentingan memperkasa bahasa dan tamadun alam Melayu dalam setiap medium yang ada, mendedahkan produk bahasa dan tamadun alam Melayu kepada peserta menerusi pameran yang diadakan sepanjang kongres berlangsung untuk memberikan nilai ekonomi kepada bahasa dan tamadun serta menyampaikan resolusi berkenaan strategi dan inisiatif yang dapat dilaksanakan dalam agenda pemerkasaan bahasa dan tamadun alam Melayu.

Dato’ Dr. Haji Megat Sany sedang melawat pameran dan reruai.

Menurut Dato’ Dr. Haji Megat Sany dalam ucapan perasmiannya, tiga asas utama kewujudan dan kejayaan tamadun Barat, iaitu falsafah, sejarah dan kesusasteraan diambil dan dibina berdasarkan cerminan daripada kegemilangan tamadun Islam yang terbina daripada tiga tiang seri utama, iaitu agama, bahasa dan budaya. Ketiga-tiga asas ini mempunyai hubung kait yang amat rapat antara satu dengan yang lainnya.

“Kecemerlangan tamadun Islam adalah melalui bahasa Arab yang berkembang sehingga menjadi cara hidup dan budaya masyarakat. Walau bagaimanapun, agama Islam tidak memaksa semua umatnya menerima bahasa Arab sebagai lingua franca atau sebagai bahasa ibunda. Sebaliknya, setiap kaum dan etnik bebas untuk terus menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun telah menganut agama Islam,” ujar Dato’ Dr. Haji Megat Sany.

Tambah beliau lagi, perbendaharaan kata bahasa Melayu turut diperkaya dengan bahasa Arab dan bahasa Parsi. Menjelang abad ke-16, bahasa Melayu muncul sebagai bahasa terpenting di rantau ini yang mampu menghasilkan teks persuratan dan teks agama dalam pelbagai bidang selaras dengan kelahiran ramai tokoh ilmuan dan para ulama Melayu dari Kepulauan Melayu Nusantara.

Dato’ Dr. Haji Megat Sany turut berkata, KPT kini sedang dalam proses untuk membangunkan “Dasar dan Pelan Tindakan Memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA” sebagai usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan pada peringkat pengajian tinggi.

Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Kongres ini adalah antara prakarsa atau inisiatif langsung yang dilaksanakan oleh UKM bagi menggerakkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. UKM berpendapat bahawa agenda ini tidak hanya menjadi matlamat dan usaha UKM sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan dalam kalangan rakan-rakan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain, agensi-agensi berkaitan kerajaan, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan seluruh anggota masyarakat sivil,” kata Naib Canselor UKM, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dalam ucapan alu-aluannya.

Jelas beliau lagi, hasil pencapaian orang Melayu terdahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sangat penting sehingga wujudnya Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sebagai lambang bukti hasil daripada ketamadunan orang Melayu yang menggunakan bahasa Melayu, budaya Melayu dan Islam sebagai agamanya. Nilai dan teras inilah yang secara tersirat dan tersurat membentuk kerukunan, keamanan dan kestabilan negara Malaysia pada hari ini.

Turut hadir memeriahkan kongres ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM; Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM; merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu; Profesor Dr. Mohammad Kassim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM; Profesor Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM; Profesor Dr. Norhamidi Muhamad, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) UKM; Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM; Encik Mohd Azli Mohd Kasirun, Bendahari UKM serta Cik Rohaya Umar, Ketua Pustakawan UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.