Oleh Mubarak Ismail
1 Oktober 2022, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Sharifah Farah Adriana berkenan berangkat menyaksikan Penang Exchange 2022: Theatrical Concert – Malam P. Ramlee: Cinta & Lagunya yang dipersembahkan oleh selebriti Arja Lee dan Farhan Azizan di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu berangkat menyaksikan persembahan konsert teater.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kraf Malaysia yang dikenali sebagai Malaysia Craft Council (MCC) tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman dan Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin.

MCC merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan demi memelihara dan memperkasakan industri kraf di Malaysia. Selain itu, MCC juga bertanggungjawab untuk mengetengahkan industri seni kraf Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui beberapa pendekatan yang diusahakan oleh ahli pertubuhan yang kebanyakannya merupakan para penggiat kraf tempatan.

Di samping itu, program tersebut turut mendapat jalinan kerjasama dengan pihak dari luar negara merangkumi British Council, Japan Foundation, dan US Embassy. Oleh itu, MCC melihat hal ini merupakan titik permulaan yang baik untuk mengangkat imej kraf tempatan ke peringkat antarabangsa. Tambahan lagi, program tersebut juga ialah satu daripada usaha untuk membantu memulihkan dan menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.