1 Oktober 2022, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Festival Kraf Borneo (FKB) 2022 selama 18 hari bermula dari 23 September hingga 10 Oktober 2022. FKB yang diadakan di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah boleh dikunjungi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang festival ini berlangsung.

FKB 2022 merupakan penganjuran kali ketiga sejak mula dianjurkan pada tahun 2018 dan tahun 2019 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti kraf Borneo memasarkan produk kraf tempatan secara terus kepada para pembeli. Bertemakan “Kraf Borneo Aspirasi Keluarga Malaysia”, FBK 2022 mencerminkan kepelbagaian produk kraf Sabah dan Sarawak yang melengkapi aspirasi Keluarga Malaysia, iaitu melambangkan kepelbagaian kaum yang berada di Malaysia.

Festival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan produk kraf etnik Sabah dan Sarawak, demonstrasi produk kraf, pameran produk kraf, interaktif kraf, persembahan kebudayaan, seminar dan bicara kraf, pameran MRCRAFTSHOPPE, sesi secara langsung jualan E-Kraf Bazar, pameran Jom Masuk Institut Kraf Negara (Kampus Satelit Sabah & Sarawak) dan Pertandingan Ratu FKB 2022.

Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli mengunjungi gerai-gerai usahawan kraf di FKB 2022.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli hadir merasmikan festival tersebut. Menurut beliau, FKB 2022 dengan penyertaan seramai 58 orang usahawan kraf menyasarkan kutipan sebanyak RM400 000 dengan kehadiran pengunjung seramai 30 000 orang.

“Walaupun sasaran yang diletakkan itu kurang berbanding yang diperoleh pada tahun 2018, namun masih realistik berdasarkan keadaan semasa,” kata Puan ‘Ainu Sham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah beliau lagi, penganjuran festival ini pada tahun 2018 yang diadakan di Lintasan Deasoka dan di pusat beli-belah Suria Sabah pada tahun 2019 berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM1.12 juta.

Menurut Puan ‘Ainu Sham, insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia yang diumumkan oleh Menteri MOTAC, Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri baru-baru ini turut terpakai di setiap gerai jualan pada FKB 2022 kali ini.

“Insentif baucar tersebut menawarkan diskaun sebanyak RM30 bagi setiap pembelian produk kraf bernilai RM100 yang telah bermula dari 16 September 2022 bersempena sambutan Hari Malaysia,” ujar Dato’ Seri Hajah Nancy.

Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli bergambar dengan 12 rakan strategik yang sentiasa menyokong industri kraf.

Sewaktu majlis perasmian tersebut berlangsung, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada 12 rakan strategik yang terdiri daripada jabatan, agensi, kerajaan negeri dan pihak swasta yang sentiasa bersama-sama menyokong industri kraf negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.