Oleh Lutfi Zahid
2 Oktober 2022, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu yang amat sinonim dengan rakyat negeri Johor. Walaupun begitu, tidak banyak yang mengetahui bahawa selain Johor, permainan muzik ghazal turut diamalkan di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Ghazal Parti. Kedua-dua kesenian tradisional ini – Ghazal Melayu Johor dan Ghazal Parti – memiliki ciri-ciri tertentu dan keistimewaan yang tersendiri.

Persembahan ghazal di Festival Ghazal Malaysia 2022.

Bagi memperkenalkan warisan kesenian tradisional ini, telah berlangsung Festival Ghazal Malaysia 2022 pada 1 hingga 2 Oktober 2022 yang lalu di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Festival yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, Yayasan Warisan Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Persatuan Ghazal Negeri Johor.

Tujuan utama festival ini diadakan adalah untuk memperkenalkan konsep “Ghazal Malaysia” yang mengetengahkan dua seni persembahan muzik Melayu tradisional yang berada di lokasi berlainan, iaitu Ghazal Melayu Johor dari Selatan Semenanjung Malaysia dan Ghazal Parti dari sebelah Utara Semenanjung Malaysia. Ghazal Malaysia membawa masyarakat kepada satu penataran muzik yang mencerminkan dimensi seni budaya Melayu tradisional, seterusnya mewarnai dunia muzik Melayu tradisional hingga kini.

Pameran Ghazal Parti dan Ghazal Melayu Johor di Festival Ghazal Malaysia 2022.

Festival Ghazal Malaysia yang berlangsung selama dua hari itu sarat dengan pelbagai aktiviti kesenian ghazal, antaranya termasuklah segmen pameran, bual bicara, dan persembahan Ghazal Melayu Johor dan Ghazal Parti. Acara kemuncak festival itu berlangsung pada hari kedua, iaitu penganjuran “Konsert Festival Ghazal Malaysia 2022” yang menampilkan penyanyi legenda negara, Dato’ Jamal Abdillah, sebagai penyanyi undangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.