6 Oktober 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kebanggaan kita akan kewujudan puluhan ribu manuskrip lama tidak patut terbatas hanya pada rasa kebanggaan akan jumlah tersebut sahaja, di mana warisan itu telah bertebaran di seluruh dunia. Kebanggaan itu hanya menimbulkan satu nostalgia tetapi kurang bererti kerana sebahagian besar masyarakat kita tidak dapat menghayati apakah yang terkandung dalam manuskrip Melayu yang hebat itu. Perlunya satu daya tarik untuk masyarakat menghayati dan memanfaatkan kandungan manuskrip lama itu

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Demikian kata-kata YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena program Wacana Etnosains dan Teknologi Siri 2: Persenjataan Alam Melayu yang diadakan di Sudut Karyawan, Stor Teater, Wisma DBP, pagi ini. Wacana ini yang bertemakan “Membongkar Kearifan Tempatan Persenjataan Alam Melayu” merupakan sebuah program anjuran Pusat Dokumentasi Melayu, DBP.

Majlis seumpama ini sangat penting dalam kita mengangkat kearifan tempatan yang kita uar-uarkan sebagai satu sumbangan besar kepada pembangunan tamadun kita sendiri dan juga sumbangan besar kepada proses memperkenalkan hasil kearifan tempatan kita kepada dunia luar.

Di samping meningkatkan keyakinan diri semangat patriotisme baharu dalam kalangan bangsa, wacana ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memahami dan mengkaji bidang etnosains dan teknologi Alam Melayu berdasarkan kepustakaan Melayu serta mengenal pasti peluang untuk memperluaskan ilmu etnosains dan teknologi alam Melayu merentas pelosok Nusantara.

Moderator (kanan sekali) bersama-sama para pembicara.

Seramai tiga orang pembicara hebat telah dijemput bagi membentangkan isu berkaitan bidang persenjataan alam Melayu, iaitu Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif, Profesor Pengajian Islam dan manuskrip Melayu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Dr. Mohd Hasanuddin Mohd Yusof, Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTAMI) dan Encik Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, pengkaji sejarah dan manuskrip Melayu yang juga merupakan penulis buku Senjata Api Alam Melayu terbitan DBP serta Puan Rabiahtuladawiyah Md. Salleh sebagai moderator.

Sebanyak 83% manuskrip Melayu masih belum dikaji – Prof. Dr. Muhammad Mustaqim.

Melalui sesi wacana ini, Profesor Dr. Muhammad Mustaqim berkongsi tentang kurangnya penggunaan manuskrip Melayu yang digunakan dalam kajian mengenai persenjataan Alam Melayu. Beliau turut menegaskan pentingnya penggunaan manuskrip Melayu sebagai sumber primer seiring dengan sumber lain bagi membentuk satu naratif dan dikembangkan bukan setakat bidang filologi, bahkan merentas ilmu lain.

Dr. Mohd Hasanuddin bersama salah satu koleksi keris peribadinya.

Ilmu besi melalui seni pembuatan keris menerusi manuskrip Melayu juga telah dibentangkan oleh Dr. Mohd Hasanuddin yang menunjukkan bahawa seni pembuatan keris sebagai bukti kearifan tempatan yang unggul. Beliau berkongsi tentang bagaimana keris bukan sahaja digunakan sebagai senjata, malah menunjukkan identiti dalam tatacara pemakaian orang Melayu zaman dahulu.

 

Encik Wan Mohd Dasuki menunjukkan salah satu contoh manuskrip Melayu lama.

Melalui pembentangan yang ketiga, Encik Wan Mohd Dasuki membicarakan tentang pemikiran orang Melayu tentang persenjataan khususnya senjata api. Tegas beliau, di sebalik usaha dalam pendokumentasian tentang senjata Melayu, implementasi tentang penggunaan senjata api juga penting dalam memahami teknologi persenjataan dengan lebih baik kerana sering timbul percanggahan ketika memahami istilah kerana tafsiran yang diberikan dalam bidang persenjataan.

Wacana ini berjaya menampilkan perkongsian bahawa kearifan tempatan dalam bidang persenjataan alam Melayu dapat diteroka melalui manuskrip Melayu, sekali gus memberikan kesedaran kepada generasi masa kini bahawa ketamadunan Melayu memiliki ilmu sains dan teknologi yang hebat mengatasi teknologi Eropah pada zaman dahulu.

Staf Pusat Dokumentasi Melayu bersama bahan-bahan pameran.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Dr. Wan Hazami Wan Juhari serta Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Encik Nik Aman Nik Yusoff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.