6 Oktober 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Projek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi yang bertemakan “Perpaduan dalam Kepelbagaian Budaya” telah berlangsung selama lima hari bermula dari 2 hingga 6 Oktober 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Majlis perasmian penutupan program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri sedang menyampaikan ucapan.

Menteri MOTAC, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri hadir merasmikan majlis penutupan tersebut pada Majlis Malam Gemala yang berlangsung dengan penuh meriah semalam. Beliau berkata, Sarong Diplomasi merujuk kepada budaya pakaian sepuluh negara ASEAN serta platform untuk mewujudkan rangkaian pengalaman baharu, bakat dan kerjasama pembangunan.

“Sebagai satu daripada komponen kebudayaan, pendekatan ‘sarong’ diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman dan menghormati warisan yang kaya di rantau ASEAN dan masyarakatnya,” ujar Dato’ Sri Hajah Nancy dalam ucapan perasmian penutupan program tersebut.

Tambah beliau lagi, tema program tersebut juga menggambarkan keharmonian yang dikongsi bersama dengan masyarakat walaupun kain sarung setiap negara ASEAN mempunyai identitinya yang tersendiri sama ada dari segi warna, motif dan gaya coraknya.

“Selain mengekalkan warisan budaya, program ini juga memberi banyak peluang kepada delegasi ASEAN yang terdiri daripada pelajar, pakar dan profesional untuk menjalin kerjasama strategik atas kepentingan bersama dalam industri seni,” kata Dato’ Sri Hajah Nancy.

Penggabungan unsur seni sarung, gerak tari dan muzik melalui program kebudayaan dapat meningkatkan imej sarung di mata dunia.

Projek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi: Unity in Cultural Diversity menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan busana sarung dalam konteks diplomasi budaya, nilai estetika dalam karya seni, simbolisme dalam seni persembahan, seni visual, dan dalam karya seni terkenal dari sepuluh buah negara ASEAN. Bahkan, dua karya baharu dapat dihasilkan dengan penggabungan unsur seni gerak tari dan muzik melalui program kebudayaan ini.

Projek kebudayaan ini juga menonjolkan budaya busana sarung sebagai perkongsian nilai identiti ASEAN yang sama serta sumbangan nilai positif kepada perpaduan dan penyatuan negara-negara ASEAN yang lebih kukuh dan harmoni.

Turut hadir pada majlis Malam Gala tersebut ialah Rektor ASWARA, Profesor Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim dan Pengarah MaTiC, Rudy Irwan Shukaimee.

Majlis penutupan dan Malam Gala Projek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook ASWARA, https://www.facebook.com/aswara.edu/videos/2004578719729149.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.